Permulaan Perang Badar (samb)
Pada masa kafir Quraisy telah bersiap untuk menuju peperangan, Abu Sufyan mengatur strategi agar tidak bertembung dengan rombongan kaum muslimin. Ketika itu pula perisik Baginda telah sampai ke satu perigi Badar dan berjaya mengesan kedudukan rombongan dagang Abu Sufyan. Kemudian mereka segera beredar untuk menyampaikan berita kepada Rasulullah s.a.w tentang rombongan Abu Sufyan yang juga hampir tiba di Badar.
Abu Sufyan pula keluar untuk mengintip rombongan Baginda. Akhirnya beliau tiba di perigi Badar dan dapat mengesan perisik Baginda telah mengenalpasti kedudukan rombongannya. Abu Sufyan yakin kedudukannya telah dikesan oleh rombongan Baginda kerana melihat kepada najis unta yang terdapat biji tamar. Hanya penduduk Madinah memberi unta mereka makan buah tamar. Maka pastilah unta ini datang dari Madinah dan ianya adalah rombongan Baginda.
Di Mekah pula Abu Lahab dan Umayyah Bin Khalaf tidak bersiap untuk bersama dengan Abu Jahal untuk menyerang rombongan Rasulullah s.a.w. Abu Lahab menguruskan hutang-hutang penduduk Mekah manakala Umayyah Bin Khalaf pula masih teringat kata-kata Saad Bin Muaz yang pernah memberitahunya bahawa Umayyah akan dibunuh oleh kaum Muslimin. Ketakutan menyelubungi jiwanya manakala pembesar Mekah merasa hairan dengan tindakannya yang tidak mahu turut berperang. Akibatnya beberapa orang dikalangan Quraisy menyindir beliau sebagai wanita yang takut berperang. Umayyah rasa tercabar dengan sindiran dan ejekkan mereka lalu beliau bangun dan bersiap untuk berperang.
Kafir Quraisy yang sudah hampir semangat untuk berperang tiba-tiba teringat kepada kabilah dari suku Kinanah. Mereka pernah berbalah dan khuatir kabilah ini akan mengambil kesempatan untuk menyerang Mekah apabila mereka keluar untuk menyerang kaum muslimin. Dalam keadaan kerisauan ini, muncullah Iblis yang menyerupai Suraqah Bin Malik seorang pemimpin kabilah Kinanah memberi jaminan mereka tidak akan menyerang Mekah. Iblis menghasut kafir Quraisy untuk berperang dengan kaum muslimin yang dipimpin oleh Baginda.
Maka dengan lagak angkuh dan sombong kafir Quraisy bergerak untuk berhadapan dengan rombongan kaum muslimin di Badar. Lagak angkuh mereka dirakamkan oleh al Quran,
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Maksudnya : Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan. (Al Anfal 8:47)
Pada waktu itu Rasulullah s.a.w dan para sahabat masih belum sedar tentang rancangan kafir Quraisy sedang menuju untuk memerangi kaum muslimin. Maka fokus hanyalah menghalang rombongan dagang Abu Sufyan. Abu Sufyan pula telah berjaya melepaskan diri bersama rombongan dari berhadapan dengan Baginda. Beliau juga telah mengirim berita kepada rombongan kafir Quraisy agar balik ke Mekah kerana beliau telah selamat. Namun Abu Jahal yang menerima berita itu tidak mahu berpatah balik dan mahu menghapuskan Baginda dan kaum muslimin. Kata Abu Jahal,
"Demi Allah kita tidak akan pulang kecuali setelah kita sampai ke Badar. Di sana kita akan berkhemah tiga malam, kita sembelih sembelihan, kita makan sepuas-puasnya, minum khamar dan kita berhibur dengan artis-artis penyanyi, sehingga dengan itu kita akan di dengar oleh bangsa Arab tentang pergerakan dan perhimpunan kita, seterusnya mereka akan gerun dengan sikap kita itu untuk selama-lamanya".
Apa berlaku seterusnya? Bersambung esok insya Allah.
Ust. Sabir