Seruan Dakwah Kepada Raja-Raja. (samb)
Raja Rom iaitu Heracules yang terkenal dengan kehebatan pemerintahan tidak terlepas menerima seruan dakwah Baginda. Kerajaan Rom satu kerajaan antara yang terkenal dengan kekuatan ketenteraannya.
Baginda mengutuskan Dihyah Bin Khalifah al-Kalabi membawa warkah Baginda kepada Heracules. Sewaktu warkah ini sampai Heracules sedang merayakan kejayaan kemenangannya ke atas Parsi. Warkah yang dikirimkan kepada Heracules adalah seperti berikut.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dari Muhammad hamba Allah dan utusannya kepada Heracules pembesar Rom. Salam sejahtera ke atas yang mengikuti hidayah, anutilah Islam kamu akan selamat, anutilah Islam kamu akan diberi ganjaran dua kali ganda, sekiranya kamu berpaling tadah maka kamu memikul beban dosa golongan Arisin. Wahai ahli kitab, marilah kamu kepada kalimah yang bersamaan di antara kami dan kamu, bahawa tiada yang kita sembah kecuali Allah dan tidak kita mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan tidak sesetengah kita mengangkat yang lain menjadi tuhan selain dari Allah, kalau mereka berpaling, kamu katakanlah: "Jadi saksilah kamu, bahawa kami orang-orang Islam".
Setelah menerima warkah dari Baginda, maka Heracules ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan Baginda. Hercules meminta didatangkan seorang dari bangsa Arab untuk menceritakan berkenaan Baginda. Ketika itu Abu Sufian yang belum Islam sedang membawa rombongan dagang ke Syam telah dijemput ke istana Heracules. Ketika Abu Sufian dan rombongannya tiba maka Heracules telah mengadakan dialog dengan mereka.
Bertanya Heracules, "siapa di antara kamu yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan tokoh yang mendakwa dirinya sebagai nabi?"
Maka berkata Abu Sufian,"akulah yang terdekat."
Berkata Heracules, "sila tampil ke mari". Kemudian bertanya lagi Heracules, "sebenarnya aku hendak tanya mengenai lelaki ini. Sekiranya beliau ini mendustai aku kamu semua sebutkan pembohongannya itu."
Berkata Abu Sufian, "seawal soal yang dihadapkan kepadaku ialah, bagaimana hubungan kekeluargaannya dengan kamu?" Aku berkata, "dengan kami Baginda berketurunan baik".
Tanya Heracules lagi, "apakah dakwaan-dakwaannya itu ada orang lain sebelum ini pernah perkatakan?"
Jawab Abu Sufian, "tidak ada."
Tanya beliau, "adakah sebelum ini bapanya keturunan raja-raja?"
Jawab Abu Sufian, "tiada".
Tanya beliau lagi, "golongan bangsawan atau golongan lemah yang mengikutinya?"
Jawab Abu Sufian, "malah golongan lemah".
Tanya beliau, "apakah jumlah mereka hari semakin bertambah atau berkurangan".
Jawab Abu Sufian, “malah semakin bertambah."
Tanya beliau lagi, "apakah terdapat penganut agamanya murtad kerana memarahi agamanya?"
Jawab Abu Sufian, "tidak ada".
Tanyanya lagi, "apakah sebelum ini kamu menempelak beliau sebagai pendusta, sebelum beliau menyeru kepada agamanya?"
Kata Abu Sufian, "tidak sama sekali, malah sepanjang pergaulan kami denganya tidak pernah kami alami darinya sikap seperti ini."
Kemudian tanya beliau lagi, "bagaimana persengketaan kamu dengannya?"
Jawab Abu Sufian, "persengkataan kami dengannya amat sengit, kadang-kadang kami menang dan kadang-kadang beliau menang."
Katanya lagi, "apa yang beliau suruh kamu?
Jawab Abu Sufian, "beliau menyuruh kami dengan katanya, “hendaklah kamu semua menyembah Allah Yang Esa, jangan sekali-kali kamu menyekutuiNya dengan sesuatu pun. Hendaklah tinggalkan apa yang diperkatakan oleh nenek moyang kami, Baginda juga menyuruh kami menunaikan solat, bersedekah, bersihkan hati dan tindakan serta menghubung silaturrahim."
Di akhir dialog Heracules memberikan pendapatnya. Inilah ciri-ciri seorang Nabi menurut pandangannya dan sebagaimana telah beliau baca di dalam Injil. Ternyata semua ciri yang tersebut ada pada diri Rasulullah s.a.w. Raja Heracules telah mengetahui tentang Rasulullah s.a.w dan membenarkan kenabian beliau dengan pengetahuan yang lengkap. Akan tetapi ia dikalahkan rasa cintanya atas takhta kerajaan dan beliau tidak menyatakan keislamannya.
Abu Sufyan menceritakan dialog ini setelah beliau masuk Islam. Heracules memuliakan Dihyah bin Khalifah Al-Kalabi dengan memberikan hadiah sejumlah harta dan pakaian.
Ust. Sabir