Pada waktu paginya Baginda sedang bersiap sedia untuk memasuki Mekah. Kemudian datang Abbas bersama Abu Sufian. Kesungguhan Baginda untuk masuk Mekah dilihat oleh Abu Sufian dan beliau yakin tiada apa lagi mampu dilakukan oleh beliau.
Lalu berkata Abu Sufian kepada Baginda,“Wahai Muhammad adakah kamu akan memberikan keamanan kepada Mekah?”
Berkata Baginda kepada Abu Sufian, “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufian mereka akan selamat. Sesiapa yang masuk ke masjid akan selamat dan sesiapa yang masuk ke rumahnya dan mengunci pintu dari dalam dia akan selamat.”
Seterusnya Baginda menyuruh Abu Sufian kembali ke Mekah untuk menyelamatkan kaumnya. Abu Sufian bergegas pulang sehingga sampai di antara dua bukit Abbas datang dan meminta Abu Sufian berhenti. Beliau terperanjat apabila Abbas memintanya berhenti dan beliau menyangka keturunan Bani Hashim memungkiri janji. Tetapi kata Abbas Baginda meminta Abu Sufian berhenti untuk melihat kekuatan tentera pimpinan Baginda.
Abu Sufian melihat satu demi satu perbarisan tentera Baginda yang sedang bergerak ke Mekah. Apabila satu kumpulan tentera melepasinya Abu Sufian bertanya siapakah kelompak itu. Di jawab oleh Abbas ianya Bani Sulaim, lalu Abu Sufian berkata dia tiada urusan dengan mereka, kemudian lalu pula satu kelompok lagi dan ditanya lagi oleh Abu Sufian siapa mereka dijawab oleh Abbas itu adalah Bani Muzainah. Abu Sufian pun berkata beliau tiada urusan dengan mereka. Kemudian kabilah-kabilah lain lalu melepasi Abu Sufian dengan bertakbir. Akhirnya lalu di hadapannya satu kabilah yang besar. Abu Sufian bertanya kepada Abbas, “Siapa mereka?”
Dijawab Abbas, “Itulah Rasulullah s.a.w bersama Muhajirin dan Ansar.”
Lantas berkata Abu Sufian, “Tiada seorang pun mampu berhadapan dengan mereka Demi Allah wahai Abu al-Fadhl (Abbas) kerajaan anak saudara kamu ini sudah terlalu besar kini.”
Kemudian Abbas membiarkan Abu Sufian bergegas menuju ke Mekah untuk memaklumkan kedatangan tentera Rasulullah s.a.w. Setibanya di Mekah Abu Sufian segera melaungkan suara sekuat hatinya,
“Wahai sekalian Quraisy, Muhammad telah datang dengan tenteranya yang belum pernah aku saksi sebelum ini, maka sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat.”
Tiba-tiba isteri Abu Sufian iaitu Hindun binti Utbah menuju ke arahnya lantas menarik misainya dan berkata: "Bunuh sahaja Abu Sufian yang tidak berguna ini, hodoh sungguh pengawal peninjau ini". Hindun tidak mahu menerima cadangan Abu Sufian meminta Quraisy menyerah Mekah kepada Baginda. Sebenarnya sekiranya mereka tidak berbuat demikian pasti mereka akan di bunuh oleh tentera Baginda.
Abu Sufian terus berkata, "Binasalah kamu di hari ini jangan kamu berasa sombong, kerana hari ini Baginda telah datang dengan bala tentera yang belum pernah dilihat seramai ini, Ayuh segera! Siapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat".
Orang-orang Quraisy berkata: "Celaka kamu, apa yang boleh menyelamatkan kami sekiranya kami berada di dalam rumah kamu ini?".
Sambung Abu Sufian: "Siapa yang masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam, beliau juga selamat dan sesiapa memasuki Masjid beliau juga selamat".
Lalu orang ramai segera berlari menyelamatkan diri kerana ketakutan dan mereka tahu Abu Sufian bukan sengaja menakutkan mereka. Namun terdapat beberapa orang yang degil dan mahu berperang antaranya Ikrimah bin Abu Jahal dan beberapa orang kafir Quraisy lagi.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir