Wahsyi bin Harb, beliau dikenali juga dengan nama Abu Dasamah. Beliau adalah hamba sahaya kepada Jubair bin Muth’im, seorang bangsawan Quraisy. Beliau telah ditawarkan kemerdekaan sebagai hamba sekiranya berjaya membunuh bapa saudara Rasulullah s.a.w iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib.
Wahsyi bin Harb adalah seorang yang mahir dalam melontar lembing. Jarang sekali lontarannya tidak mengena. Kerana kemahiran ini Jubair bin Muth’im telah menawarkan beliau untuk turut serta dalam peperangan Uhud dan mencari peluang untuk membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib.
Ketika peperangan sedang rancak beliau telah bersembunyi di sebalik batu besar memerhati aksi perang Hamzah bin Abdul Mutalib yang tangkas membunuh musuh dengan pedangnya. Beliau menunggu waktu yang sesuai untuk melontarkan lembingnya ke sasaran yang sudah dikenal pasti olehnya.
Ketika Hamzah bin Abdul Mutalib sedang bertarung dengan Sibai bin Abd. Uzza dan berjaya menewaskannya serta membunuhnya maka Wahsyi bin Harb segera bertindak dengan melontarkan lembingnya. Lontaran lembing ini kena pada bahagian perut dan menembusi belakang Hamzah bin Abdul Mutalib menyebabkannya gugur syahid.
Wahsyi bin Harb segera mengambil lembingnya semula dan kembali ke khemahnya kerana tugasnya telah selesai. Beliau segera menuntut pembebasannya sebagai hamba seperti yang telah dijanjikan. Apabila perang tamat beliau turut serta ikut tentera Quraisy kembali ke Mekah.
Ketika Fathul Mekah, beliau telah melarikan diri di Taif. Beliau telah mendengar Baginda tidak akan membunuh orang yang memeluk Islam maka beliau telah pergi bertemu Baginda di Madinah untuk memeluk Islam. Sampai sahaja di hadapan Baginda maka bertanyalah Baginda adakah benar beliau yang membunuh Hamzah? Beliau mengatakan apa yang didengar oleh Baginda tentang hal tersebut adalah benar. Setelah menganut Islam Baginda meminta agar Wahsyi bin Harb berpaling dari Baginda.
Beliau segera meninggalkan Madinah dan menyedari betapa sedihnya Baginda di atas kematian Hamzah bin Abdul Mutalib. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w muncul orang yang mengaku menjadi Nabi iaitu Musailamah al-Khazab pada zaman Abu Bakar As Siddiq menjadi Khalifah.
Satu peperangan telah meletus bagi menangani Musailamah al Khazab yang dipimpin oleh Khalid al Walid turut disertai oleh Wahsyi bin Harb. Beliau membawa lembing yang sama yang pernah digunakan semasa membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib. Lembing ini mahu digunakan oleh beliau untuk membunuh Nabi palsu ini. Akhirnya beliau berjaya melontarkan lembingnya hingga mengena Nabi palsu ini dan kemudian seorang tentera Ansar menghayunkan pedangnya ke kepala Nabi palsu ini sehingga terbunuh.
Bagi beliau sekurang-kurangnya inilah yang mampu dilakukan olehnya bagi menebus kesilapannya membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir