Setelah ketiga-tiga pahlawan Islam gugur Syahid, bendera Islam diambil alih oleh Thabit bin Arqam iaitu dari keturunan Bani Ijlan. Beliau seterusnya berucap:
“Wahai tentera muslimin, pilihlah seorang di antara kamu untuk memimpin tugas ini.”
Kemudian dijawab oleh mereka : “Kamulah orangnya.”
Lalu berkata Thabit bin Arqam: “Aku tidak boleh.”
Seterusnya dicadangkan nama Khalid Al Walid. Kemudian bendera itu diserahkan kepada Khalid Al Walid oleh Thabit bin Arqam. Khalid berkata kepada Thabit bin Arqam: “Wahai Thabit kamu lebih tua dari aku dan kamu adalah ahli Badar.”
Jawab Thabit : “Ambil wahai Khalid. Sesungguhnya aku mengambil bendera ini semata-mata untuk diserahkan kepada kamu. Kini bukanlah masanya untuk kita berunding lagi suasana semakin genting dan kamu adalah pakar dalam strategi perang selayaknya kamulah yang memimpin.”
Khalid Al Walid menerima dan mula menyusun semula pasukan tentera muslimin. Posisi tentera muslimin diubah iaitu pasukan dari belakang diletakkan di hadapan dan begitu pula dari hadapan dipindahkan ke belakang. Tujuannya adalah untuk mengelirukan musuh yang menyangka bantuan tentera dari Madinah telah tiba bila melihat tentera muslimin yang berbeza berada diposisinya.
Manakala di Madinah pula Rasulullah telah mendapat khabar dari malaikat tentang apa yang berlaku di medan perang Mu’tah. Baginda menaiki mimbar dan berkata:
“Bendera yang dibawa oleh Zaid, beliau gugur syahid kemudian ianya diambil oleh Jaafar dan beliau gugur syahid lantas diambil oleh Ibnu Rawahah. Ibnu Rawahah pun gugur syahid. Pada masa itu Rasulullah s.a.w berlenang air mata hinggalah bendera Islam dicapai oleh Pedang Allah (Khalid Al Walid) maka dengannya pembukaan pun selamat terlaksana.”
Baginda kemudian pergi ke rumah Jaafar bin Abi Talib, Baginda memeluk anak-anak Jaafar dan mencium mereka semua. Isteri Jaafar iaitu Asma binti Umais sedang membuat makanan dan telah mempersiapkan anak-anaknya dengan mandian dan wangian. Apabila Asma binti Umais melihat Baginda memeluk anak-anaknya sambil menitiskan air mata maka bertanyalah beliau kepada Baginda,
"Demi ayah dan ibuku Ya Rasulullah. Kenapakah kamu menangis? Adakah apa-apa khabar tentang Jaafar dan kedua saudaranya itu?"
Berkata Baginda: “Ya mereka semua telah syahid.”
Mendengar kata-kata Baginda Asma terus menangis dan anak-anaknya terpaku tidak mengerti apa yang berlaku.
Kemudian Rasulullah s.a.w mengesat airmata dan berdoa: "Ya Allah peliharakanlah anak-anak Jaafar."Ya Allah peliharakanlah keluarga Jaafar."
Kemudian Baginda berkata kepada mereka : "Aku telah melihat Jaafar kini bersama malaikat di Syurga, dikurniakan oleh Allah dua pasang sayap yang masih dibasahi dengan darah.."
Sementara itu di medan perang Khalid Al Walid menyusun strategi perang bagi memastikan musuh merasa gerun dan korban syahid di kalangan Sahabat tidak meningkat.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir