Para Sahabat yang lain kini sudah berkumpul dikeliling Baginda namun keadaan Baginda sudah luka dan cedera. Musuh tidak dapat lagi meloloskan diri untuk menyerang Baginda. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Saad katanya,
“Aku lihat Rasulullah s.a.w di dalam peperangan Uhud bersamanya dua lelaki yang serba putih mempertahankan Rasulullah s.a.w, penuh ketangkasan, mereka berdua ini belum pernah aku lihat selama ini dan selepasnya.”
Di dalam satu riwayat yang lain menjelaskan dua lelaki yang serba putih itu ialah Jibril dan Mika'il.
Para Sahabat yang awal yang membentengi Baginda dari kalangan Ansar 6 orang telah syahid dan yang ke 7 mengalami luka parah sehingga tidak mampu untuk bangun. Sahabat yang lain segera mempertahankan Baginda ketika Saad dan Talhah terus bertempur dengan musuh yang ramai. Abu Bakar yang sentiasa berada dekat dengan Baginda dan kini tidak meninggalkan Baginda dari sebarang ancaman lagi.
Seterusnya Baginda mengarahkan agar pasukannya naik ke Bukit. Kenderaan Baginda tidak mampu untuk naik maka turunlah Talhah bagi memikul Baginda dengan belakangnya. Di saat itu itu pula musuh iaitu Ubay Bin Khalaf menuju untuk membunuh Baginda. Beliau berjaya meloloskan diri dari kepungan tentera Islam. Talhah mahu menghadapi Ubay Bin Khalaf yang legkap berbaju besi.
Baginda menghalang Talhah dan berkata biar Baginda yang menghadapinya. Ubay Bin Khalaf telah bersumpah dari awal ketika di Mekah lagi beliau memang hendak membunuh Baginda. Kini beliau berdepan dengan Baginda lengkap berbaju besi dan diatas kuda yang tangkas yang telah disediakan khusus untuk peperangan ini.
Baginda Rasul mengambil anak panah Sahabat dan mensasarkan leher Ubay Bin Khalaf kawasan yang ada sedikit ruang terbuka dan memanahnya. Panahan Baginda yang terlalu kuat menyebabkan Ubay terjatuh dari kudanya dan jatuh bergolek. Beliau bangun dalam ketakutan lantas melarikan diri. Beliau menjerit kepada pasukannya dan berkata “Muhammad memanah aku matilah aku.”
Apabila beliau tiba berdekatan pasukannya mereka melihat luka dilehernya dan dengan sinisnya berkata, “wahai Ubay luka ini kecil dan tidak akan menyebabkan kamu terbunuh.”
Ubay yang masih terkejut berkata, “jika Muhammad meludah aku pun aku boleh mati.”
Pada masa yang sama Baginda telah dibawa oleh Talhah ke atas bukit dan Saad pula mula mengawal bukit yang cuba diceroboh oleh tentera musuh. Khalid Bin Al Walid melihat pasukan Baginda sudah menguasai semula bukit. Beliau dan pasukannya cuba untuk menjatuhkan bendera tentera muslimin. Rasululla s.a.w memerintahkan Saad memanah ke pasukan Khalid Bin Al Walid yang jumlahnya begitu ramai. Berkata Saad, “bagaimana aku dapat memanah seorang diri terhadap pasukan ini ya Rasulullah?”
Baginda mendoakan setiap panahan Saad dan tidak ada satu pun yang tersasar sama ada musuh tercedera atau terbunuh.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir