Habbar bin al-Aswad bin Mutalib, memusuhi Islam sejak dari awal penyebarannya lagi. Selepas Baginda berhijrah ke Madinah maka telah dihantar utusan untuk membawa Zainab binti Muhammad s.a.w iaitu anak Baginda berhijrah ke Madinah. Beberapa orang Quraisy telah menghalang rombongan ini untuk menuju ke Madinah antaranya adalah Habbar bin al-Aswad. Ketika Zainab binti Muhammad yang berada di atas untanya untuk berhijrah ke Madinah, Habbar bin al-Aswad telah menarik pakaiannya sehingga menyebabkan Zainab binti Muhammad jatuh. Akibat terjatuh ini Zainab telah mengalami keguguran kandungannya serta mengalami luka yang meninggalkan parut seumur hidupnya.
Kesan dari kecederaan ini Zainab binti Muhammad telah dirawat oleh Bani Abdul Manaf dan beliau terpaksa menangguhkan perjalanan ke Madinah. Khabar tentang Zainab binti Muhammad yang keguguran dan cedera akibat perbuatan Habbar bin al-Aswad telah sampai ke pengetahuan Baginda yang mengundang kemarahan Baginda. Rasulullah s.a.w memerintahkan agar Habbar bin al-Aswad dijatuhi hukuman mati.
Habbar bin al-Aswad tidak pernah serik dengan perbuatannya yang menghina Islam. Banyak perkara salah yang dilakukan olehnya. Sewaktu pembukaan kota Mekah beliau cuba untuk melarikan diri ke Parsi kerana mengetahui darahnya halal untuk dibunuh namun hajatnya tidak diteruskan. Berita tentang sifat pemaafnya Baginda diketahui oleh Habbar bin al-Aswad lalu beliau bercadang untuk menghadap Baginda memohon maaf dan menganut Islam.
Seterusnya beliau datang bertemu Baginda dan berkata
“Wahai Rasulullah, aku hendak lari ke Parsi tetapi aku teringat akan kebaikan dan sifat pemaafmu. Apa yang kamu dengar mengenai diriku semuanya adalah benar. Aku mengakui kejahilan dan kejahatan yang telah aku lakukan. Sekarang aku datang untuk memeluk Islam.”
Baginda tersenyum mendengar kata-kata Habbar bin al-Aswad dan memberikan kemaafan kepadanya dan hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya dibatalkan.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir