Cuaca yang panas terik dan perjalanan yang jauh adalah cabaran yang terpaksa dilalui oleh tentera muslimin. Bahkan keadaan semakin menguji keimanan para tentera muslimin yang berjumlah 30,000 orang yang tidak mempunyai kenderaan unta yang mencukupi. Nisbah unta yang digunakan adalah 18 orang menunggang satu ekor unta secara bergilir. Maknanya ramai yang terpaksa berjalan kaki dalam cuaca yang panas.
Seorang Sahabat yang mulia Abu Dzar al-Ghifari mengalami musibah apabila untanya sakit dan tidak dapat meneruskan perjalanan. Beliau telah tertinggal jauh di belakang pasukan tentera muslimin ketika itu. Beliau hanya ada dua pilihan sama ada kembali ke Madinah atau tetap menempuh perjalanan hanya dengan berjalan kaki dalam cuaca yang sangat panas. Beliau berfikir sekiranya kembali ke Madinah seolah-olah beliau telah lari dari jihad manakala dengan meneruskan perjalanan pastinya kesukaran yang tidak tergambar.
Akhirnya beliau memilih terus mengejar pasukan tentera muslimin dengan membawa sekadarnya peralatan dan bekalan. Beliau telah berjalan siang dan malam tanpa henti bagi memastikan beliau tetap dapat bersama dengan pasukan tentera muslimin. Setelah menempuh perjalanan yang sukar kemudiannya tentera muslimin melihat dari jauh seorang lelaki berjalan kaki sedang menuju ke arah mereka. Tentera muslimin seterusnya melaporkan kepada Baginda. Mendengar laporan ini Baginda berkata, “Insya Allah Abu Dzar.”
Tidak berapa lama kemudian Abu Dzar pun tiba dan beliau menceritakan apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. Mendengar kisah beliau seterusnya Baginda bersabda, “Allah merahmati Abu Dzar, dia berjalan seorang diri dan mati seorang diri dan akan dibangkitakan seorang diri sebagai satu umat.”
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w iaitu Abu Dzar meninggal dunia seorang diri hanya ditemani isteri dan anaknya sewaktu zaman pemerintahan khalifah Uthman bin Affan. Tidak lama selepas Abu Dzar meninggal dunia tibalah Abdullah bin Mas’ud yang kebetulan melalui jalan tersebut. Beliau melihat dua orang yang berada disamping satu jenazah lalu beliau menghampirinya dan melihat isteri serta anak Abu Dzar. Beliau menangis dan berkata benarlah apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. Moga Allah merahmati Abu Dzar.
Pasukan tentera kaum muslimin yang dalam perjalanan mulai merasai kehausan dan juga kelaparan. Mereka terpaksa menyembelih unta untuk bekalan makanan dan juga mengambil air dari uncang unta yang disembelih untuk minuman. Perjalanan tetap diteruskan sehingga melalui kawasan al-Hijr perkampungan peninggalan Nabi Soleh a.s iaitu kaum Tsamud yang pernah ditimpa bala.
Tentera muslimin telah mengambil air minuman dan membuat roti menggunakan air dari tempat itu. Apabila diketahui oleh Baginda dari mana sumber air yang diambil oleh para tenteranya lalu Baginda mengarahkan air tersebut dicurahkan dan makanan yang diperbuat darinya diberi kepada haiwan untuk makan.
Baginda bersabda dalam hadis sahih dari Ibn Umar. Ketika Rasulullah s.a.w melalui kawasan al-Hijr Baginda berpesan dengan sabdanya:
"Jangan sekali-kali kamu memasuki kediaman mereka yang telah melakukan penganiayaan terhadap agama mereka, nanti akan terkena ke atas kamu bala yang pernah menimpa mereka, jangan kamu masuk kecuali dalam keadaan kamu menangis, kerana takut azab Allah, dengan itu Rasulullah s.a.w menutup kepalanya dan segera keluar dari lembah berkenaan".
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust Sabir