Setelah pembukaan kota Mekah Baginda tinggal lebih kurang 19 hari di Mekah. Baginda diriwayatkan hanya tinggal di dalam khemah Baginda. Semasa Baginda masih di Mekah Islam disebarkan kepada kabilah-kabilah yang berada sekitar Mekah. Banyak kabilah yang terkejut apabila mendapat khabar Baginda dan kaum muslimin menguasai Mekah dengan cara yang singkat dan mudah.
Utusan-utusan Baginda dikirimkan kepada kabilah-kabilah ini dengan seruan Islam dan juga meruntuhkan segala berhala yang masih menjadi sembahan mereka sekitar Mekah. Kini Mekah bebas dengan segala bentuk berhala yang telah dimusnahkan. Namun terdapat juga mereka yang lari dari Mekah dan mendapat perlindungan dari kabilah lain setelah Islam menguasai Mekah.
Pada masa yang sama terdapat beberapa kabilah yang tetap bersikap keras untuk memerangi Islam dan Baginda. Antara kabilah tersebut adalah Hawazin, Thaqif, Nasr, Jasyam, Saad dan beberapa dari kabilah Hilal. Mereka telah dipimpin oleh Malik bin Auf al-Nasri untuk menyerang dan menguasai Mekah.
Malik bin Auf al-Nasri telah membuat keputusan membawa segala harta, binatang ternak, anak-anak dan kaum wanita dalam peperangan ini. Tujuannya kononnya akan memberi semangat kepada para tentera yang dibawa untuk memerangi musuh sehingga berjaya. Malik bin Auf al-Nasri yang masih muda berusia 24 tahun sebenarnya tidak bijak dengan membawa segalanya ini untuk berperang.
Tindakan beliau telah disanggah oleh seorang lelaki tua yang buta bernama Duraid bin al-Sammah. Beliau adalah seorang yang berpengetahuan mengenai peperangan, berani dan berpengalaman. Beliau mengatakan strategi ini adalah salah dan bahaya namun Malik bin Auf al-Nasri berdegil dan menempelak Duraid bin al-Sammah yang telah menjadi buta dengan mengatakan beliau nyanyuk.
Bagi memerangi Mekah kumpulan tentera Hawazin ini telah berjaya mengumpul 20,000 tentera yang lengkap bersenjata. Berita serangan yang akan dilancarkan oleh mereka telah sampai ke pengetahuan Baginda.
Kemudiannya Baginda mengutus perisik yang bernama Abi Hadad al-Aslami ke Taif dan seterusnya masuk menyelinap bersama tentera Hawazin ini. Abi Hadad al-Aslami telah mendapat maklumat tentang persiapan dan perancangan musuh bagi menyerang Mekah. Lalu beliau segera kembali ke Mekah memberitahu Baginda apa yang diperolehinya dari pihak musuh.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir