Peperangan Khaibar
Khaibar adalah nama satu tempat yang subur dan kaya yang didiami oleh orang-orang Yahudi. Mereka pada awalnya tidak ada permusuhan dengan umat Islam, namun Yahudi Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah yang datang dan menetap bersama mereka meracun pemikiran penduduk Khaibar. Ketika Yahudi Bani Nadhir tiba di Khaibar mereka telah diberi keistimewaan kerana Yahudi Bani Nadhir termasuk keturunan Yahudi yang mulia hinggakan diangkat menjadi pemimpin Khaibar. Tokoh yang menguasai Khaibar adalah Sallam Bin Abi al-Huqaiq, Kinanah Bin Abi al-Huqaiq dan Huyai Bin Akhtab.
Dendam kesumat Yahudi Bani Nadhir masih membara terhadap Rasulullah s.a.w mereka sering mengatur strategi demi strategi untuk menyerang Madinah sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam peperangan Ahzab mereka bersekutu dengan tentera Quraisy, Yahudi Bani Quraizah serta golongan munafik di Madinah.
Gerakan di Khaibar tidak boleh dibiarkan memandangkan jarak antara Madinah dengan Khaibar lebih kurang 65 km dari Kota Madinah. Malah setelah adanya perjanjian Hudaibiyah maka pihak Quraisy tidak boleh menyertai peperangan dengan kaum muslimin. Ini sekaligus memberi isyarat tiada sokongan dan bantuan dari Quraisy sekiranya peperangan meletus dengan kaum muslimin.
Peperangan Khaibar berlaku pada bulan Muharam tahun ke 7 Hijrah. Allah telah menjanjikan kemenangan kepada Islam dalam peperangan ini. Baginda hanya membenarkan mereka yang menyertai perjanjian Hudaibiyah sahaja yang boleh turut serta dalam misi ini. Menawan Khaibar bererti menawan harta yang banyak dibumi yang subur dan ianya akan menjadi harta rampasan perang. Al Quran menjelaskan harta yang dirampas akan menjadi milik tentera muslimin.
وَعَدَكُمُ اللَّهُ مَغَانِمَ كَثِيرَةً تَأْخُذُونَهَا فَعَجَّلَ لَكُمْ هَٰذِهِ وَكَفَّ أَيْدِيَ النَّاسِ عَنكُمْ وَلِتَكُونَ آيَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ وَيَهْدِيَكُمْ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا
Maksudnya : (Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya kepada mereka) Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Dia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Dia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu, (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. (Fath 48:20)
Baginda Rasul memaklumkan berita gembira ini sehingga beberapa orang di kalangan munafik yang tidak menyertai rombongan ke Mekah ketika perjanjian Hudaibiyah meminta kebenaran untuk turut serta dalam peperangan Khaibar. Tujuan mereka hanyalah untuk memperolehi harta rampasan perang dan bukannya membela Islam. Mereka merayu agar diizinkan turut serta namun Baginda bertegas hanya kaum muslimin yang turut serta dalam perjanjian Hudaibiyah sahaja diizinkan bersama. Sekiranya mereka yang tidak turut serta dalam perjanjian Hudaibiyah ingin bersama berperang ke Khaibar maka tiada bahagian mereka dalam harta rampasan perang tersebut. Mendengar syarat ini maka tiada seorang pun golongan munafik mahu turut serta dalam misi ini. Al Quran mengisahkan hal ini,
سَيَقُولُ الْمُخَلَّفُونَ إِذَا انطَلَقْتُمْ إِلَىٰ مَغَانِمَ لِتَأْخُذُوهَا ذَرُونَا نَتَّبِعْكُمْ ۖ يُرِيدُونَ أَن يُبَدِّلُوا كَلَامَ اللَّهِ ۚ قُل لَّن تَتَّبِعُونَا كَذَٰلِكُمْ قَالَ اللَّهُ مِن قَبْلُ ۖ فَسَيَقُولُونَ بَلْ تَحْسُدُونَنَا ۚ بَلْ كَانُوا لَا يَفْقَهُونَ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya : Orang-orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepung musuh serta) mendapat harta rampasan perang: “Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!" Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi". Mereka akan berkata pula, "(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu yang dengki kepada kami", (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar), bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata). (Fath 48:15)
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir