Peperangan Mu’tah
Peperangan ini terjadi pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 Hijrah. Peperangan ini berlaku di tempat bernama Mu’tah iaitu di daerah Balqa’ di Syam. Ianya antara peperangan yang besar melibatkan jumlah tentera muslimin berjumlah 3000 orang menentang tentera Rom yang berjumlah 200,000 orang. Inilah peperangan yang paling ramai disertai oleh tentera muslimin sepanjang tempoh peperangan sebelum ini.
Antara punca berlakunya peperangan ini apabila Harith bin Umair yang telah diutuskan untuk menyampaikan dakwah kepada Raja Busra telah dihalang dan dibunuh oleh Syurahbil bin Umar al-Ghasani iaitu Gabenor Bandar Balqa di Syam. Pada awalnya utusan ini ditangkap kemudianya dibunuh dengan dipancung lehernya. Menjadi satu kesalahan besar dalam mana-mana kerajaan apabila utusan yang dikirim dibunuh maka ianya pasti akan mengundang peperangan.
Pembunuhan Harith bin Umair ini telah dilakukan oleh golongan Ghasasinah iaitu sekutu kuat kepada kerajaan Rom. Mereka segera mendapatkan bantuan Raja Herkules apabila mengetahui tentera Islam bersedia untuk menyerang mereka. Raja Herkules bersetuju untuk membantu dan telah mengirimkan tenteranya dalam peperangan ini bagi menghadapi serangan tentera Islam.
Manakala Baginda telah melantik beberapa orang dari kalangan Sahabat yang hebat untuk memimpin tentera muslimin iaitu terdiri dari Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah. Baginda telah bersabda: “Jika Zaid mati syahid, maka Ja’far yang menggantikannya, jika Jaafar mati syahid maka Abdullah bin Rawahah penggantinya.”
Dengan persediaan kepimpinan di kalangan para Sahabat yang hebat dapat di gambarkan kesungguhan Baginda untuk memenangi peperangan ini walaupun di ketahui bukan mudah untuk berhadapan dengan Rom sebagai sebuah kerajaan yang besar dan kuat.
Apakah strategi yang dirancang untuk menghadapi peperangan ini? Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir