Perang Badar & Ambang Kekalahan Musyrikin
Para malaikat yang turut sama berperang di medan Badar telah membunuh ramai tentera musyrikin. Dalam keadaan ini tentera musyrikin mulai rasa takut dan berputus asa. Hanya yang berdegil terdiri dari panglima-panglima kafir Quraisy masih tidak mahu mengalah dan yakin boleh menang. Sedangkan sudah ada dikalangan musrikin yang lari dari medan tempur.
Baginda Rasulullah s.a.w. memberi arahan agar tidak membunuh beberapa orang dari kalangan panglima Quraisy antaranya Abu al Buhtari. Beliau pernah menampar Abu Jahal yang menghalang bekalan makanan yang cuba disalurkan kepada kaum muslimin yang ditindas di Mekah dahulu dalam peristiwa pemboikotan. Abu Al Buhtari tidak pernah memusuhi Baginda dan tidak sesekali menganggu umat Islam ketika di Mekah. Bahkan Baginda juga memberi arahan agar tidak membunuh keluarga Bani Hasyim kerana mereka berperang kerana terpaksa dan bukanlah dengan kerelaan mereka. Selain itu Baginda juga melarang membunuh Abbas Bin Abdul Mutalib.
Ini jelas menunjukkan bahawa Baginda bukanlah seperti yang digambarkan oleh musuh-musuh Islam melakukan kezaliman dan pembunuhan secara total tanpa ada apa-apa perkiraan. Para Sahabat tetap patuh dan taat atas arahan Baginda. Ketika berada di medan perang seorang sahabat bernama Mujzir Bin Zaid al Bulwi dari kalangan Ansar telah berhadapan dengan Abu al Buhtari. Lalu beliau berkata kepada Abu al Buhtari bahawa Baginda melarang membunuhnya. Berkata Abu al Buhtari “bagaimana dengan kawan aku?”
Berkata Mujzir, “tidak, demi Allah beliau tidak terkecuali.”
Mendengar jawapan Mujzir maka berkatalah Abu al Buhtari, “demi Allah kalau demikian aku akan mati bersamanya.”
Mujzir mengelak untuk membunuh Abu al Buhtari kerana sasarannya bukanlah beliau. Namun Abu al Buhtari tetap menyerang mempertahankan kawannya menyebabkan tiada pilihan bagi Mujzir melainkan membunuh kedua-duanya. Akhirnya Abu al Buhtari terbunuh. Mujzir menghadap Baginda dan menceritakan apa yang berlaku dan Baginda menerima penjelasan Mujzir.
Abdul Rahman Bin Auf bertemu Umayyah Bin Khalaf bersama anaknya bernama Ali Bin Umayyah. Seperti mana sedia maklum Umayyah Bin Khalaf seorang yang sangat memusuhi Islam ketika di Mekah lagi. Beliau telah menyiksa Bilal Bin Rabah dengan penuh kezaliman. Kini beliau berada di medan Badar dan sudah hilang segala perlindungan. Baginda Rasul pernah menyebut kepada Saad Bin Muaz tentang kematian Umayyah di luar kota Mekah dan berita ini dalam pengetahuan Umayyah. Bahkan dari awal lagi beliau keberatan untuk turut serta bersama Abu Jahal dalam peperangan ini. Namun kerana sindiran Abu Jahal menyebabkan beliau tetap turut serta ke medan peperangan.
Umayyah telah membuat tawaran untuk menjadi tawanan perang dan menawarkan unta-unta gemuk yang mengeluarkan susu yang banyak kepada Abdul Rahman Bin Auf. Mendengar tawaran beliau Abdul Rahman Bin Auf bersetuju untuk menjadikan mereka dua beranak ini sebagai tawanan perang. Ketika itu tiba-tiba Bilal Bin Rabah telah ternampak Umayyah bekas tuannya yang banyak menyakiti Rasulullah dan paling zalim pula penyiksaan kepada Bilal. Beliau terus melaungkan dengan kuat, “inilah kepala kafir Quraisy dan aku tidak akan selamat jika beliau selamat.”
Abdul Rahman Bin Auf cuba menghalang Bilal Bin Rabah dari membunuh Umayyah dengan berkata kedua-dua beranak ini sudah menjadi tawanan beliau. Namun Bilal tidak mengendahkannya dan mengajak beberapa orang dari kalangan Ansar untuk membunuh Umayyah. Abdul Rahman Bin Auf cuba melindungi Umayyah namun tidak terdaya kerana pasukan Ansar yang ramai sudah mengepung mereka. Abdul Rahman Bin Auf meminta Umayyah merebahkan dirinya dan Abdul Rahman Bin Auf pula merebahkan dirinya melindungi Umayyah. Namun tindakan beliau tidak berjaya kerana pasukan Ansar dan Bilal berjaya menerkam dan menikam Umayyah dan anaknya sehingga mati.
Sememangnya tidak layak bagi Umayyah untuk diberi layanan dan perlindungan sebagai tawanan. Kejahatan dan kezalimannya terlalu besar dan beliau sedikit pun tidak ada keinginan mahu memohon maaf sebaliknya menawarkan unta yang sarat dengan susu sebagai harga kematiannya. Terbunuhnya Umayyah diketahui oleh Baginda dan tindakan Bilal itu tidak pula disanggah oleh Baginda.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir