Perjanjian Aqabah Kedua (samb)
Setelah perjanjian ini dipersetujui tiba-tiba kedengaran satu suara dari atas bukit yang dilaungkan oleh syaitan. Syaitan agak lewat mengetahui perjanjian yang dilakukan oleh Baginda dan penduduk Madinah. Syaitan menyeru dengan kuat,
“Wahai orang-orang yang nyeyak tidur adakah kamu masih tidur? Muhammad dan orang-orang keluar dari agama kamu sepakat untuk memerangi kamu.”
Apabila mendengar suara itu, Saad Bin Malik lantas menghunus pedangnya dan berkata,
“Ya Rasulullah sekiranya kamu izinkan sekarang juga kami akan memerangi mereka.”
Baginda berkata belum diperintahkan lagi untuk mereka berbuat begitu dan menasihati semua kembali ke khemah masing-masing. Hebat sungguh iman mereka, walaupun jumlah mereka sedikit iaitu tujuh puluh tiga orang dan baru sahaja melafazkan perjanjian namun keberanian untuk mempertahankan aqidah dan Rasulullah s.a.w sudah bersinar.
Keesokkan hrinya kafir Quraisy mengambil tindakan menuju ke khemah-khemah rombngan Madinah yang didiami oleh kabilah Aus dan Khazraj untuk mengetahui benarkah ada perjanjian sulit mereka dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian berkatalah wakil mereka,
“Wahai kaum Khazraj, sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan kami bahawa kamu telah menemui saudara kami (Muhammad), dengan hasrat untuk membawanya keluar dari pangkuan kami, malah kami sudah berjanji setia untuk memerangi kamu, demi Allah sesungguhnya tidak ada satu kabilah Arab pun yang senang untuk menyaksikan peperangan di antara kami dan mereka manakala kamu pula sebahagian darinya".
Abdullah bin Ubai bin Salul, yang mewakili musrikin Madinah tidak menyedari perjanjian yang telah dimenterai oleh muslimin dengan Rasulullah s.a.w. Lalu dia telah berdepan dengan wakil Quraisy dan berkata,
"Ini semua adalah palsu belaka, tidak munasabah perkara ini berlaku dan tidak munasabah kaumku boleh bertindak dengan berbuat demikian, kalau aku di Madinah mereka tidak akan bertindak sesuatu, kecuali setelah mengambil pendapatku".
Kaum muslimin yang telah berbaiah semuanya tidak bersuara dan mendiamkan diri sahaja melihat kata-kata oleh kafir Quraisy dan Abdullah Bin Ubai. Akhirnya kafir Quraisy beredar dengan perasaan yang tidak aman. Mereka masih menyakini ada sesuatu yang berlaku namun tidak mempunyai bukti dan saksi yang melihat perjanjian Aqabah ini.
Tidak lama selepas musim Haji tamat, rombongan Madinah beredar kembali menuju ke Madinah. Kafir Quraisy masih mencari informasi kerana jika benarlah berlakunya perjanjian antara penduduk Madinah dengan Rasulullah s.a.w. pastinya hidup mereka tidak aman dan peperangan sudah pasti akan berlaku. Kafir Quraisy masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka terima dari rombongan Madinah bahawa tiada perjanjian dengan Rasulullah s.a.w lalu mereka mengambil keputusan mengejar rombongan ini. Namun mereka telewat kerana rombongan ini sudah hampir sampai ke Madinah.
Dalam pada itu mereka sempat melihat Saad bin 'Ubbadah dan Munzir bin Amru maka mereka memburu kedua-duanya. Al-Munzir sempat melepaskan dirinya tetapi Saad gagal melepaskan dirinya dan menyebabkan dia ditangkap dan dibawa ke Mekah. Mereka mula menyiksanya dan memintanya mengaku memang ada perjanjian dengan Rasulullah s.a.w. Namun keimanan beliau sangat tinggi walau apa jua bentuk penyiksaan yang dilakukan keatasnya beliau tetap menafikan adanya perjanjian itu.
Mut'am bin 'Adi dan al-Harith bin Harb bin Umaiyah telah melihat Saad dalam keadaan yang tersisksa dengan tangan berikat lalu beliau terus membuka ikatan dan memberi perlindungan kepadanya. Berita tentang penyiksaan kepada Saad sampai ke Madinah, akhirnya kafir Quraisy membebaskan Saad dan beliau kembali ke Madinah.
Islam terus berkembang di Madinah. Selanjutnya Mus’ab mengirim berita kepada Rasulullah s.a.w untuk mengajak berhijrah ke Madinah. Penduduk Madinah sudah bersedia dan tidak sabar untuk bertemu Rasul yang telah mereka dengar namun wajahnya masih belum mampu mereka tatapi. Ikatan perjanjian Aqabah kedua bukan hanya satu perjanjian biasa tetapi perjanjian antara hamba-hamba Allah dengan Rasulullah s.a.w.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir