Perang Badar & Pertolongan Allah
Tentera musyrikin menerima arahan Abu Jahal untuk mulakan serangan dengan panah-panah yang menghujani tentera muslimin. Pasukan tentera muslimin tetap bertahan dengan perisai tanpa membalas serangan mereka mengikut arahan Baginda. Arahan seterusnya sekiranya musuh menyerang dengan pedang maka ketika itu tentera muslimin hendaklah menyerang dengan serentak.
Serangan bertubi-tubi anak-anak panah tentera musyrikin telah kena dua orang Sahabat dan mereka syahid, antaranya ialah Harithah Bin Suraqah. Ibu kepada Harithah telah menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya tentang kedudukan Harithah yang telah terbunuh sebelum pasukan tentera muslim benar-benar bertempur dengan musuh. Berkata ibu Harithah,
“Wahai pesuruh Allah, “apakah nasib Harithah yang mati sebelum benar-benar berlakunya pertempuran? Apakah beliau syahid? Sekiranya beliau di syurga aku akan sabar sebaliknya jika bukan di Syurga aku akan meratapi kematiannya (hukum meratapi kematian belum lagi diharamkam ketika itu).”
Baginda menjawab, “wahai ibu Harithah bukan satu syurga bahkan lapan syurga buat Harithah.”
Mendengar begitu gembiralah ibu Harithah atas kesyahidan anaknya. Musuh mula mendekati tentera muslimin dan Baginda mengarahkan dari bertahan kepada menyerang dengan berani. Pasukan tentera muslimim dengan panglima-panglima perang menyerang dengan bersungguh-sungguh. Manakala Baginda tidak putus-putus berdoa mohon pertolongan Allah.
“Ya Allah, Ya Tuhanku sekiranya termusnah kelompok ini di hari ini nescaya Engkau tidak kan disembah lagi, Ya Allah Ya Tuhanku sekiranya Engkau kehendaki (kalahnya pasukan muslimin), maka Engau tidak akan disembah lagi selepas hari ini untuk selama-lamanya" .
Kesungguhan Baginda berdoa hingga terjatuh kain serban dari atas bahunya. Abu Bakar yang sentiasa di sisi Rasulullah s.a.w. meletakan semula kain serban tersebut ke atas bahu Baginda. Kemudian beliau berkata, "Sudah, cukup wahai Rasulullah dengan permintaan kamu kepada Tuhan mu itu".
Allah sentiasa melihat dan mendengar permohonan hamba-hambanya. Maka turunlah wahyu ketika peperangan semakin memuncak,
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ
Maksudnya : (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. (Al Anfal 8:9)
Baginda dengan gembira memberitahu kepada Abu Bakar, “Bergembiralah wahai Abu Bakar, bergembiralah wahai Abu Bakar, Jibril dengan menunggang kuda putih mengetuai seribu malaikat yang beriringan.”
Kemenangan Islam semakin dekat apabila mereka sentiasa yakin dengan wahyu Allah. Allah pasti tidak akan membiarkan hamba-hambanya dalam kehinaan. Bantuan dari langit akan menambah keimanan mereka. Lihat firman Allah,
إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آمَنُوا ۚ سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ
Maksudnya : (Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun. Oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka". (Al Anfal 8:12)
Apakah yang berlaku di medan perang? Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir