Setelah mendapat berita tentang rasa tidak puas hati Sahabat Ansar terhadap pembahagian harta rampasan perang maka Baginda meminta mereka berkumpul. Kemudiannya Baginda berkata kepada mereka,
“Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu dalam kesesatan dan Allah memberi petunjuk kepada kamu? Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu miskin kemudian Allah mengkayakan kamu? Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu berpecah belah kemudian Allah menyatukan kamu? Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu dikalahkan kemudian Allah memenangkan kamu?
Setiap kata-kata Baginda hanya dijawab oleh Sahabat Ansar,
“Daripada Allah dan Rasulnya segala jasa dan pemberian.”
Seterusnya Baginda meminta mereka berkata apa yang mereka rasa tidak puas hati kepada Baginda. Sahabat Ansar masih tidak mahu bercakap melainkan mengulang-ulang kata-kata,
“Daripada Allah dan Rasulnya segala jasa dan pemberian.”
Kemudian sekali lagi Baginda meminta bercakap,
“Kalau kamu boleh berkata kamu boleh berkata dan boleh jadi kamu benar dalam kata-kata kamu.”
Kemudian Baginda berkata kamu boleh berkata,
“Kamu datang kepada kami keseorangn lalu kami membela kamu. Kamu datang kepada kami dalam keadaan miskin kami kayakan kamu. Kamu datang diburu kami membela kamu.”
Kaum Ansar hanya mengulang-ulang
“Daripada Allah dan Rasulnya segala jasa dan pemberian.” Mereka tidak sanggup bercakap begitu dengan Baginda.
Kemudian Baginda berkata,
“Kamu terasa hati dengan aku kerana sedikit habuan dunia aku berikan kepada orang lain untuk mengikat hati mereka kepada Islam. Sedangkan aku mempercayai kamu kerana iman kamu. Apakah kamu tidak redha orang lain pulang membawa kambing dan unta tetapi kamu pulang membawa Muhammad Rasulullah bersama kamu? Demi Allah! Sekiranya manusia mengikut satu jalan di suatu lembah dan orang Ansar pula mengikut jalan yang yang lain di satu lembah atau di tepi gunung, nescaya aku akan mengikut jalan atau gunung yang dilalui oleh orang-orang Ansar”.
Apabila mendengar kata-kata Baginda Sahabat Ansar terus menangis sehingga basah jangut mereka mengenangkan kasihnya Baginda kepada Sahabat Ansar. Mereka telah tersalah sangka kepada Baginda dan telah terperdaya dengan harta dunia. Mereka telah lupa Rasulullah s.a.w adalah harta yang tidak ternilai yang ada bersama mereka.
Seterusnya Baginda berdoa untuk Sahabat Ansar,
“Ya Allah, rahmatilah Ansar dan anak-anak Ansar serta cucu-cucu Ansar. Ya Allah, musuhilah mereka yang memusuhi Ansar dan sokonglah mereka yang menyokong Ansar.”
Sahabat Ansar terharu dan gembira dengan doa khusus Baginda kepada Ansar. Mereka kembali bersatu hati bersama Baginda dan menghilangkan segala syak wasangka terhadap Rasulullah s.a.w.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir