Peperangan Mu’tah (samb) : Sahabat Baginda Gugur Syahid.
Ini adalah peperangan paling mencabar dalam rekod peperangan dunia kerana tentera muslimin yang kecil jumlahnya iaitu 3000 orang menentang tentera Rom yang jumlahnya 200,000 orang. Zaid bin Harithah menyusun pasukan tentera muslimin dengan membahagikan mereka kepada beberapa posisi untuk melakukan serangan terhadap tentera Rom. Serangan pertama dilakukan pada awal pagi telah mengejutkan tentera Rom kerana tidak sama sekali mereka menyangka keberanian tentera Islam melakukan serangan terhadap mereka. Pertempuran yang sengit berlanjutan sehingga ke petang dengan jumlah korban di pihak musuh meningkat.
Kemudian beberapa siri serangan dilakukan pada hari berikutnya oleh tentera muslimin sehingga angka kematian pihak musuh bertambah jumlahnya. Walaupun begitu seolah-olah serangan tidak memberi kesan besar kepada tentera Rom kerana jumlah mereka terlalu ramai. Akhirnya tentera Rom mula bertindak dengan melakukan serangan terhadap tentera muslimin.
Zaid bin Harithah menyerang dengan bersungguh-sungguh dan pihak musuh mula bertindak dengan mengepungnya. Zaid tidak dapat bergerak untuk menyerang lagi kemudian musuh memanah beliau bertubi-tubi. Tubuhnya penuh dengan anak-anak panah dan beliau gugur syahid.
Bendera Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib. Beliau menyertai peperangan Mu’tah setahun selepas kembali dari Habsyah. Jaafar terus mengasak tentera Rom dengan serangan tanpa henti. Musuh bertindak balas menyerang Jaafar sehingga beliau tidak mempunyai ruang untuk bergerak dari kudanya. Akhirnya Jaafar turun dari kudanya dan menyerang musuh. Tangan Jaafar putus dilibas oleh musuh kemudian bendera Islam dipegang dengan tangannya yang sebelah lagi. Musuh melibas tangannya yang sebelah lagi tersebut sehingga putus, Jaafar tetap berusaha memegang bendera Islam dengan tangannya yang kudung. Akhirnya Jaafar dibunuh dengan kejam.
Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi' bahawa Ibnu Umar telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapatkan jenazah Jaafar yang telah syahid, pada badannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh lubang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.
Rasulullah s.a.w berkata kepada para Sahabatnya, Allah menggantikan kepada Jaafar dengan dua sayap yang membolehkan beliau berterbangan di dalam syurga ke mana sahaja yang beliau mahu. Sehingga itu beliau dikenali sebagai Jaafar al-Tayyar dan Jaafar zul al-Janahain.
Kesyahidan Jaafar tidak mematahkan semangat para tentera muslimin. Abdullah bin Rawahah mengambil giliran memegang bendera Islam dan terus mara ke medan menyerang musuh. Beliau mengungkapkan syair, “Wahai nafsuku aku telah bersumpah sama ada kamu suka atau sebaliknya. Orang lain telah pun mendahului kamu kenapa aku melihat kamu membenci syurga.?”
Serangan Abdullah bin Rawahan berjaya membunuh seorang panglima musuh iaitu Malik bin Ghafilah. Musuh bertindak balas menyeran Abdullah dan akhirnya beliau gugur syahid di medan Mu’tah. Kini ketiga-tiga pahlawan Islam telah gugur syahid namun peperangan masih belum tamat. Apakah yang terjadi seterusnya?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir