Setelah kembali ke Madinah berlaku beberapa peristiwa penting antaranya,
Kaum munafik telah memulakan membina sebuah masjid semasa para Sahabat sedang sibuk membuat persiapan untuk ke Tabuk. Idea membina masjid ini dipelopori oleh Abu Amir Ar-Rahib. Beliau adalah orang yang menggali lubang dalam perang Uhud yang menyebabkan Rasulullah s.a.w jatuh ke dalamnya. Beliau merancang untuk menjadi Imam di masjid tersebut dan menjadikan masjid ini sebagai pusat penyebaran dan perkumpulan golongan munafik.
Apabila Baginda kembali ke Madinah golongan munafik telah pun siap membina masjid ini. Mereka telah meminta Baginda untuk solat di masjid ini. Niat buruk mereka adalah untuk menyaingi Masjid Quba yang telah didirikan oleh Baginda dan mahu memecah belahkan kekuatan Islam. Lihat firman Allah SWT,
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
MaksudnyaDan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. (Surah Taubah 9:107)
Namun sikap buruk mereka ini tidak berjaya memerangkap Baginda. Allah SWT menurunkan wahyunya melarang Baginda solat di masjid tersebut. Masjid ini dikenali dengan Masjid Dhirar iaitu bukanlah didirikan atas dasar taqwa. Lihat firman Allah SWT,
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya : Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah Taubah 9:108)
Akhirnya Baginda mengarahkan Sahabat membakar masjid itu. Tujuan yang buruk tidak akan mendapat kebaikan dari sisi Allah SWT. Lihat firman Allah SWT,
أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (Surah Tubah 9:109)
Ada cubaan dari kalangan munafik yang cuba menghalang Sahabat dari membakar masjid ini namun mereka tidak berjaya. Sikap orang munafik hanyalah penuh dengan kepura-puraan. Ketakutan sentiasa berada dalam diri mereka dan mereka tidak pernah aman dengan sifat buruk itu. Lihatlah al-Quran mengambarkan sikap mereka,
لَا يَزَالُ بُنْيَانُهُمُ الَّذِي بَنَوْا رِيبَةً فِي قُلُوبِهِمْ إِلَّا أَن تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : (Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah Taubah 9:110)
Begitulah buruknya sikap dan perangai mereka. Namun Baginda masih membiarkan mereka tanpa diambil tindakan.
Bersambung esok Insya Allah.
Ust. Sabir