Golongan Munafik Peranan Dalam Peperangan Bani Mustaliq atau Muraisi (samb)
Alllah telah menurunkan wahyunya menerangkan kebenaran kata-kata Zaid Bin Arqam. Lihat firman Allah,
إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Apabila orang-orang munafik datang kepadamu mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah.” Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar RasulNya dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta. (Al Munafiqun 63:1)
Kemudian Rasulullah s.a.w. mengutus seseorang bertemu dengan Zaid Bin Arqam untuk membacakan ayat tersebut seterusnya menegaskan bahawa Allah membenarkan ucapannya. Tentulah ianya menjadi kegembiraan buat Zaid Bin Arqam setelah Baginda mempercayainya.
Abdullah Bin Abdullah Bin Ubai, iaitu anak lelaki kepada Abdullah Bin Ubai telah melepas diri dengan bapanya yang munafik. Beliau menanti di pintu kota Madinah untuk menghalang bapanya dari memasuki kota Madinah kerana ucapan hasutanya kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana dijelaskan oleh firman Allah,
يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya : Mereka berkata lagi, " Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Al Munafiqun 63:8)
Beliau menanti bapanya dengan pedang yang terhunus, lalu berkata beliau kepada bapanya yang baru tiba, "demi Allah kamu tidak boleh melepasi sempadan ini kecuali setelah diizinkan Rasulullah s.a.w. Bagindalah yang termulia dan engkau adalah yang terhina.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. tiba maka Baginda membenarkan Abdullah Bin Ubai masuk dan barulah anaknya tadi memberi laluan kepada bapanya. Abdullah Bin Abdullah Bin Ubai telah menemui Rasulullah s.a.w sebelum itu dan berkata kepada Baginda, "wahai Rasulullah s.a.w sekiranya tuan hamba merestui pembunuhannya maka perintahlah aku melakukannya, demi Allah akan aku pancung lehernya dan akan aku bawa ke hadapan tuan hamba".
Rasulullah s.a.w tetap dengan sifat sabarnya dan sentiasa berlembut dengan golongan ini pada peringkat awalnya waluapun para Sahabat sudah mulai hilang sabar. Namun mereka tetap patuh kepada Baginda apabila keputusan itu datangnya dari Baginda.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir