Baginda menyusun strategi bagi mengelakkan maklumat sampai kepada kafir Quraisy dengan menghantar satu pasukan yang dipimpin oleh Abu Qatadah bin Rabie beserta lapan orang menuju ke penempatan Adham yang berada di antara Zi al-Khasyab dan Zi al-Maruah. Tujuannya bagi membuat helah agar orang ramai menyangka Baginda membuat persiapan untuk menuju ke penempatan Adham.
Pada masa yang sama Baginda juga telah mengarahkan kabilah-kabilah yang telah menerima Islam untuk membuat persiapan perang dan datang berkhemah di luar kota Madinah. Baginda juga memberi arahan agar tidak dibenarkan mana-mana penduduk Madinah keluar dari kota dan hanya membenarkan mereka masuk ke kota Madinah sahaja. Ianya dilakukan bagi menyekat maklumat sampai ke luar kota Madinah tentang misi Baginda untuk menyerang Mekah.
Para Sahabat di kalangan Muhajirin dan Ansar semuanya tidak mengetahui strategi Baginda dan ke mana sebenarnya sasaran peperangan kali ini. Jumlah yang telah berkumpul kini sudah menjangkau melebihi 7500 orang tentera. Seorang pemimpin Bani Ghatafan iaitu Uyaynah bin Husn melihat jumlah yang bersama dengan Islam sudah ramai maka beliaupun tidak mahu terlambat menyertai Islam walaupun pada awalnya niatnya adalah mengharapkan harta rampasan perang. Beliau datang bertemu Baginda dan mengistiharkan dirinya masuk Islam dan berkata semua Bani Ghatafan akan masuk Islam.
Manakala Aqra bin Habis pemimpin Bani Tamim juga bertemu Baginda dan mengistiharkan keislamannya serta menyakinkan Baginda seluruh keturunan Bani Tamim juga akan masuk Islam. Tindakan mereka telah mengembirakan Baginda. Kini dengan jumlah tentera yang ramai persiapan sudah lengkap untuk menuju ke Mekah pada bulan Ramadan tahun ke 8 Hijrah.
Ketika semuanya sedang bersedia untuk berangkat tiba-tiba berlaku satu peristiwa iaitu seorang Sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah telah mengupah seorang wanita untuk membawa surat yang disembunyikan dalam sanggulnya memaklumkan kepada Quraisy tentang misi Baginda hendak menyerang Mekah. Tindakan Hatib bin Abi Baltaah dimaklumkan Allah kepada Baginda.
Tindakan pantas diambil Baginda dengan mengutus Ali dan Miqdad untuk mengejar wanita tersebut dan menghalangnya dari sampai ke Mekah. Baginda berkata wanita ini akan berhenti di satu tempat bernama Raudhah Khakh dan mereka diminta untuk merampas surat tersebut. Apakah yang terjadi seterusnya? Tunggu esok ya bersambung Insya Allah.
Ust. Sabir