Golongan Munafik Peranan Dalam Peperangan Bani Mustaliq atau Muraisi (samb)
Umar Al Khattab yang berada bersama Rasulullah s.a.w turut mendengar berita tentang ucapan Abdullah Bin Ubai. Lalu berkatalah Umar, "wahai Rasulullah s.a.w suruh sahaja Abbad bin Yasir membunuh si bedebah itu."
Namun cadangan Umar itu ditolak oleh Baginda dengan katanya, "bagaimana Umar, nanti orang akan berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri dan ini tidak mungkin. Ayuh maklumkan sekalian tentera mengenai pergerakan kita".
Baginda mengarahkan tentera muslimin terus bergerak pulang sedangkan ianya bukanlah waktu yang menjadi kebiasaan bagi tentera untuk berjalan pulang. Arahan Baginda ini dipatuhi namun Sahabat bernama Usaiyid Bin Hadhir bertanya kepada Baginda kenapa waktu ini diminta segera bertolak pulang?
Maka dijawab oleh Baginda, "tidakkah sampai ke pengetahuan kamu apa yang telah diperkatakan oleh kawan-kawan itu?”
Bertanya Usaiyid, "apa yang beliau cakap ya Rasulullah"?
Jawab Rasulullah, “beliau telah berkata sekiranya beliau pulang ke Madinah nanti pasti orang termulia akan menghalau yang hina".
Lalu jawab Usaiyid, "engkau wahai Rasulullah s.a.w yang akan menghalaunya keluar sekiranya engkau mahu. Demi Allah dialah yang hina dan dikaulah wahai Rasulullah s.a.w yang mulia. Kemudian katanya lagi, “biarlah dan berlembutlah dengannya wahai Rasulullah. Demi Allah Dialah Tuhan yang telah membawa tuan hamba kepada kami semua. Beliau itu sebelum ini sudah disediakan dengan persalinan sutera untuk ditabalkan sebagai ketua dan beliau menyangka tuan hambalah yang telah merampas hak takhtanya itu".
Baginda terus bergerak bersama para tentera muslimin menuju ke Madinah tanpa rehat hingga lewat petang dan dari malam hingga ke pagi. Mereka hanya berhenti rehat ketika cuaca benar-benar panas terik. Para tentera taat kepada Baginda tanpa ada yang membantah walaupun semuanya dalam kepenatan dan apabila Baginda berhenti rehat semuanya tidur dalam keadaan yang lena. Tujuan Baginda berbuat demikian adalah untuk membiarkan semua orang sibuk dan tidak ada masa memperdulikan hal lain dan berbual perkara yang mengundang perbalahan.
Pada masa yang sama Abdullah Bin Ubai menyedari Zaid Bin Arqam telah menyampaikan berita kepada Baginda perihal hasutannya. Maka segeralah bapa munafiq ini bertemu Baginda dan bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tidak berkata seperti mana yang telah didengar oleh Baginda. Sebaliknya beliau meletakkan kesalahan tersebut kepada anak muda yang bernama Zaid Bin Arqam dengan mengatakan mungkin beliau tersalah dengar dan tidak memahami perbualan orang tua-tua.
Rasulullah s.a.w hanya mengiyakan sahaja apa yang dikatakan oleh Abdullah Bin Ubai kerana Baginda tidak mahu melayan beliau. Zaid Bin Arqam merasa sedih apabila seolah-olah Baginda mempercayai Abdullah Bin Ubai berbanding beliau yang seorang remaja. Beliau merasa sedih juga kerana seolah-olah beliau sengaja membuat tohmahan yang tidak betul.
Lalu Zaid Bin Arqam telah mengambil keputusan untuk tidak keluar dari rumah setelah tiba di Madinah dan tidak menghadiri majlis bersama Baginda seperti kebiasaannya. Sehinggalah bapa saudaranya berkata kepadanya bukanlah maksud Baginda membenci kamu dan tidak mempercayai kamu. Tindakan Zaid Bin Arkam telah mengundang turunnya wahyu Allah.
Bersambung esok, Insya Allah.
Ust. Sabir