Kembali Dari Taif
Satu peristiwa yang berlaku ketika Baginda dan Zaid menumpang teduh di kebun anggur milik Utbah dan Syaibah adalah doa Baginda kehadrat Allah yang menyusuk kalbu bagi orang yang beriman. Doa Baginda seperti berikut,
اَللُّهُمَّ اِلَيْكَ اَشْكُوْ ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيْلَتِيْ وَهَوَانِيْ عَلَى النَّاسِ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ، اَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِيْنَ، وَاَنْتَ رَبِّي، اِلَى مَنْ تَكِلُّنِيْ اِلَى بَعِيْدٍ يَتَجَهَّمُنِيْ ؟ اَوْ اِلَى عَدُوٍّ مَلَكْتَهُ اَمْرِيْ ؟ اِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلاَ اُبَالِيْ وَلَكِنْ عَافِيَتَكَ هِيَ اَوْسَعُ لِيْ، أَعُوْذُ بِنُوْرِوَجْهِكَ الَّذِيْ اَشْرَقَتْ بِهِ الظُّلُمَاتُ، وَصَلُحَ عَلَيْهِ اَمْرُ الدُّنْيَا وَاْلاَخِرَةِ مِنْ اَنْ تُنَزِّلَ بِي غَضَبُكَ اَوْ تَحُلُّ بِي سَخَطُكَ، لَكَ الْعَتْبَي حَتَّى تَرْضَي، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّبِكَ
Maksudnya : Ya Allah, aku mengadu kepadaMu kelemahan, kekurangan dan kehinaanku daripada manusia. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang, EngkaulahTuhan orang-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan diriku wahai Tuhan? Apakah kepada orang yang jauh yang menyerangku ataukah kepada musuh yang berkuasa keatas urusanku? Kalau tidak ada kemurkaanMu kepadaku, aku tidak peduli. Namun kesejahteraanMu lebih luas buatku. Aku berlindung dengan cahayaMu yang menerangi kegelapan dan cahanyaMu yang membawakan kebaikan di dunia dan akhirat, daripada kemurkaanMu yang akan Engkau timpakan kepadaku. Kepada Engkaulah segala rayuan hingga Engkau redha. Dan tiada daya dan upaya selain dari Engkau.”
Doa Baginda yang begitu sayu dalam munajat kepada Allah turut memberi bekas kepada para Malaikat. Kemudian turunlah Jibril berkata kepada Baginda bahawa Allah mengutus kami kepadamu,
يَا مُحَمَّدُ، فَقَالَ، ذَلِكَ فِيمَا شِئْتَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ أُطْبِقَ عَلَيْهِمُ الأَخْشَبَيْن
Maksudnya : “Wahai Muhammad, terserah kepadamu, jika engkau mengkehendaki aku menghimpitkan kedua bukit itu kepada mereka”
Mendengar kata-kata Jibril, Baginda menjawab, “janganlah wahai Jibril. Biarlah aku sabar dengan kaumku.”
Kemudian Baginda berdoa,
بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلاَبِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ، لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
Maksudnya : “Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata-mata serta tidak disekutukanNya dengan apa pun.”
Begitulah kasihnya Rasulullah terhadap umatnya walaupun Baginda diperlakukan dengan kejam dan tanpa belas ihsan. Tiada doa laknat untuk ummatnya yang masih jahil. Tiada doa mohon bala kepada mereka walaupun para malaikat bersedia sekiranya Baginda mahu melaksanakannya. Masya Allah ya Rasululah mulianya engkau, malunya kami dengan akhlak mu yang terlalu tinggi nilainya. Sedikit ujian Allah beri sudah kami mengalah dan mempersalah.
Satu hari kegembiraan menyelubungi jiwa Rasulullah iaitu doanya dimakbul Allah, memang lahir dari rahim wanita Thaif anak-anak yang menerima Islam dan berjuang bersama mempertahankan Islam pada masa berikutnya. Sesungguhnya Allah menguji hambanya dengan ujian beruntunglah mereka yang sabar. Benarlah firman Allah,
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (merasai) kelaparan, (berlakunnya) kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah 2:155)
Seterusnya Rasulullah dan Zaid mengambil keputusan kembali semula ke Mekah. Namun masalah yang akan berlaku ialah Baginda akan diganggu oleh kafir di Mekah. Sudah tidak ada lagi yang akan membelanya selepas kematian Abu Talib. Baginda perlu mendapatkan pembelaan dari mana-mana pembesar Mekah yang akan menjamin tiada sesiapa yang boleh menganggu Baginda. Apakah yang dilakukan oleh Baginda agar boleh kembali ke Mekah tanpa diganggu oleh kafir Mekah?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ustaz Sabir