Peperangan Bani Qainuqa’
Bani Qainuqa’ adalah keturunan Yahudi yang tinggal di Madinah. Selepas Hijrah semua kaum terikat dengan perjanjian Madinah (Piagam Madinah) untuk hidup aman damai dalam sebuah negara Madinah. Yahudi ini mempunyai pasar mereka sendiri dan kadang-kadang ada juga orang-orang Islam yang datang ke pasar mereka. Kebencian kepada Islam semenjak kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah tidak pernah padam dalam jiwa mereka. Malah ianya semakin menjadi-jadi semenjak kafir Quraisy tewas dalam perang Badar.
Baginda pernah mengajak kaum Yahudi Bani Qainuqa’ memeluk Islam walaupun mengetahui dari awal lagi mereka amat memusuhi Baginda. Antara seruan Baginda kepada mereka.
“Wahai kaum Yahudi, masuklah ke dalam agama Islam sebelum kamu ditimpa apa yang telah menimpa kaum Quraisy.”
Mendengar begitu mereka berkata, “Wahai Muhammad jangan sombong dengan kejayaan kamu membunuh beberapa orang Quraisy yang tidak mahir tentang peperangan. Jika kamu (berani) memerangi kami, pada waktu itu kamu akan mengetahui kami adalah manusia yang kamu tidak pernah temui.”
Kesombongan kaum Yahudi ini mengundang firman Allah
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئْسَ الْمِهَادُ ﴿١٢﴾ قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا ۖ فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَىٰ كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَنْ يَشَاءُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِأُولِي الْأَبْصَارِ
Maksudnya : Katakanlah kepada orang-orang yang kafir: “Kamu pasti akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan diiringi ke dalam neraka jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat.” Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata biasa melihat (seakan-akan) orang-orang Muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan siapa yang dikehendaki-Nya dengan bantuan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati.(Ali Imran 3:12-13).
Allah memberi amaran kepada mereka yang memandang rendah terhadap pertolongan Allah yang telah diberikan kepada tentera-tentera Badar. Namun kaum Yahudi menjadi semakin melampau sehingga berlaku satu peristiwa yang telah mencetuskan peperangan yang dikenali Peperangan Bani Qainuqa’.
Satu hari seorang wanita muslimah telah pergi ke pasar Bani Qainuqa’ untuk membeli. Beliau telah diganggu oleh peniaga Yahudi untuk melihat wajahnya. Namun wanita tersebut enggan melayan mereka ketika wanita itu duduk seorang lelaki Yahudi telah mengikat tali pada hujung pakaian wanita tersebut. Apabila wanita ini berdiri tali yang mengikat pakaiannya telah menyebabkan terbukalah auratnya. Mereka ramai-ramai ketawa melihat wanita musimah tersebut menyebabkan wanita ini menjerit meminta tolong.
Datang lelaki muslim yang mendengar jeritan wanita tersebut dan telah membunuh Yahudi tersebut. Apabila Yahudi yang lain melihat maka mereka telah ramai-ramai menyerang dan membunuh lelaki muslim ini.
Peristiwa ini telah sampai ke pengetahuan Baginda, lalu Rasulullah s.a.w tanpa berlengah mengarahkan satu pasukan tentera disiapkan untuk menuju ke perkampungan Bani Qainuqa’. Abdullah Bin Ubai seorang munafik yang mempunyai hubungan akrab dengan golongan Yahudi telah menemui Rasulullah s.a.w dan merayu agar Baginda tidak meneruskan tindakan menuju ke perkampungan Yahudi untuk berperang.
Baginda tidak mengendahkan cadangan Abdullah Bin Ubai. Pasukan tentera muslimin digerakkan untuk berhadapan dengan Yahudi. Maruah wanita Islam bukan satu perkara yang boleh dipermainkan. Pembunuhan tanpa kembali merujuk kepada Baginda sebagai ketua negara Madinah adalah pelanggaran terhadap sistem undang-undang yang telah dibentuk.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir