Strategi Khalid Al Walid telah berjaya mengelirukan musuh dari kalangan tentera Rom. Kedudukan dan perubahan bendera tentera muslimin menyebabkan tentera Rom menyangka bantuan ketenteraan dari Madinah telah tiba. Pasukan berkuda pula diarahkan oleh Khalid Al Walid berundur menghala ke Madinah.
Keesokkan paginya Tentera Rom melihat tentera muslimin ramai terdiri dari muka-muka yang baru. Apabila pasukan berkuda tiba pula iaitu yang diarahkan Khalid Al Walid supaya berundur semalam telah tiba dengan membuat debu-debu berterbangan seolah-olah jumlah pasukan berkuda besar dan sedia untuk bertempur. Keadaan ini telah mengerunkan tentera Rom kerana dengan jumlah tentera muslimin sekarang pun mereka masih tidak boleh ditewaskan bagaimana pula jika bantuan dari Madinah tiba pasti keadaan untuk menang menjadi lebih sukar.
Seterusnya Khalid Al Walid mengarahkan serangan kepada tentera Rom dan peperangan menjadi sangat sengit. Pedang yang digunakan oleh Khalid Al Walid adalah berjumlah sembilan bilah pedang yang patah silih berganti. Manakala Zubair Al Awam menggunakan dua bilah pedang sekaligus dalam pertempuran ini. Tentera Rom tewas dan mati dibunuh dengan pedang Khalid Al Walid dan Zubair Al Awam. Ketakutan menyelubungi tentera Rom melihat ketangkasan dan strategi perang Khalid Al Walid. Musuh mula melarikan diri sedangkan hakikat sebenar tidak bertambah pun jumlah tentera muslimin dari awal mereka memulakan peperangan.
Serangan kali ini telah berjaya membawa tentera muslimin mendekati pasukan tentera Rom. Lalu tentera Rom mengambil langkah dengan berundur kerana tidak mampu bertahan lagi akibat tenteranya yang kucar kacir dan melarikan diri. Ketika ini Khalid Al Walid memberi arahan supaya tentera muslimin berundur secara perlahan-lahan ke belakang. Tentera Rom menjadi hairan ketika mana tentera muslimin menguasai perang mereka tidak terus menyerang bahkan berundur menghala ke Madinah. Pada sangkaan mereka pasti ada strategi perang dan bantuan besar akan datang untuk menyerang mereka. Lalu tentera Rom juga berundur dalam keadaan cemas dan mengarahkan jangan menyerang tentera muslimin lagi.
Khalid Al Walid berundur dengan pasukan tentera muslimin kembali ke Madinah dengan kemenangan bermaruah apabila berjaya menghalau tentera Rom serta menunjukkan kekuatan tentera Islam. Tindakan Khalid Al Walid adalah satu tindakan berani serta bagi menyelamatkan pasukan tenteranya supaya tidak terkepung dan dibunuh dengan mudah oleh tentera Rom kerana jumlah mereka terlalu ramai.
Pasukan tentera muslimin tiba di Madinah dalam keadaan pihak musuh tidak berani mengejar mereka. Ketibaan mereka telah dicemuh oleh beberapa orang penduduk Madinah dengan menabur pasir mengatakan mereka lari dari medan perang. Kata-kata mereka telah didengar oleh Baginda kemudian berkata Baginda : “Mereka bukanlah melarikan diri tetapi akan menyerang kembali dengan izin Allah..”
Jumlah tentera muslimin yang gugur syahid adalah dua belas orang manakala bilangan tentera Rom yang mati adalah tinggi namun tidak diketahui dengan tepat jumlahnya. Dengan kembalinya dengan selamat tentera muslimin dan beredarnya tentera Rom memberikan satu isyarat kemenangan kepada tentera muslimin yang kecil jumlahnya menentang tentera Rom yang terlalu besar jumlahnya.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir