Ibadah Haji telah disempurnakan oleh Baginda dan para Sahabatnya, begitu juga Baginda telah melaksanakan sembelihan ibadah Qurban yang dibawa bersama iaitu yang berjumlah 100 ekor unta. Baginda juga telah bertemu, beramah mesra dan meraikan para penduduk Mekah sebelum berangkat kembali ke Madinah pada bulan Muharam tahun ke 11 Hijrah. Ini adalah kali terakhir Baginda menziarahi bumi Mekah.
Setibanya di Madinah Baginda menyusun satu pasukan untuk melaksanakan misi dakwah dengan penghantaran Usamah Bin Zaid sebagai pemimpin pasukan ke perbatasan al-Balqa' dan al-Darom di Palestin. Walaupun ketika itu usia Usamah bin Zaid belum mencecah 20 tahun, namun beliau dipilih oleh Baginda untuk memimpin Sahabat yang lebih senior seperti Abu Bakar As Siddiq dan lain-lain Sahabat yang utama.
Selepas pasukan Usamah bin Zaid berangkat meninggalkan Madinah, bermula saat ini telah nampak jelas pada kata-kata dan tindakan Baginda bahawa masa untuk Baginda menemui Allah SWT dan meninggalkan semua para Sahabatnya semakin hampir.
Pada bulan Safar tahun sebelas Hijrah, Baginda telah keluar ke Medan Bukit Uhud. Baginda berdoa untuk para syuhada yang dikebumikan di medan Bukit Uhud sebagai mengucap selamat tinggal kepada sekalian yang hidup dan yang mati.
Kemudian dari situ Baginda terus kembali ke masjid menaiki mimbar dan berucap dengan sabdanya yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku telah berkeras dengan kamu, sesungguhnya aku adalah saksi ke atas kamu semua. Demi Allah di masa ini aku sedang melihat kolam airku (kurniaan kepada Rasulullah di hari perkiraan), aku ini telah diberi kunci khazanah kekayaan bumi atau kunci-kunci bumi dan sesungguhnya aku tidak takut kamu akan menyekutui Allah selepas kematian ku ini tetapi yang aku takut ialah kamu lumba-lumba kerana dunia".
Pada satu malam Baginda telah memanggil bekas hambanya iaitu Abu Muwaihibah dan memberitahunya Baginda mahu keluar ke kawasan perkuburan al-Baqi'. Apabila tiba di situ Baginda memohon keampunan untuk penghuni di kubur berkenaan dengan doanya yang bermaksud:
"Assalamulaikum wahai penghuni kubur, bergembiralah kamu ke atas apa yang berlaku pada kamu berbanding apa yang akan berlaku ke atas orang lain. Kini fitnah telah mula tiba seperti sepotong malam yang gelap pekat, hujungnnya terus menyusul selepas permulaannya, hujungnya lebih buruk dari permulaannya".
Kemudian Baginda mengakhiri kata-katanya: "Sesungguhnya kami akan menyusul datang selepas kamu"
Pada 29hb. Safar tahun ke 11 Hjrah hari Isnin, Baginda sempat mengiringi satu jenazah ke tanah perkuburan Baqi’. Dalam perjalanan pulang itu Baginda mengalami sakit kepala dan panas badannya yang sangat tinggi suhunya. Namun Baginda tetap solat berjamaah dengan kaum muslimin di masjid walaupun kesakitan Baginda tidak sedikit pun berkurangan.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir