Perjanjian Aqabah Kedua
Islam mula diterima dengan jayanya di Madinah. Pada tahun terakhir sebelum Baginda berhijrah ke Madinah, rombongan dari Madinah berjumlah tujuh puluh tiga orang telah datang untuk menunaikan Haji. Rombongan ini telah merancang untuk bertemu Baginda dan membuat perjanjian taat setia kepada Rasulullah s.a.w. Mereka telah mendengar tentang kerasulan Baginda semasa di Madinah lagi. Ketika berada di Aqabah mereka telah membuat pertemuan dengan Baginda pada hari-hari Tasriq secara senyap tanpa diketahui oleh kafir Quraisy.
Kaab Bin Malik seorang wakil dari Ansar menceritakan detik pertemuan dengan Baginda.
“Kami telah keluar ke tempat haji, sebelumnya telah pun kami membuat janji dengan Rasulullah s.a.w untuk bertemu di al-Aqabah di iaitu pada pertengahan hari-hari tasyriq. Pada malam yang kami janjikan itu turut serta ialah Abdullah bin Amru bin Hiram, salah seorang ketua pimpinan kami dan orang yang kami muliakan. Ketika perjumpaan itu sengaja kami rahsiakan dari kaum sebangsa kami yang masih musyrik lagi yang turut bersama untuk mengerjakan haji. Pada malam itu kami telah berbicara dengan Abdullah bin Amru, lalu kami berkata,
“Wahai Abu Jabir, tuan adalah salah seorang pemimpin kami dan tokoh yang kami muliakan, sebenarnya kami tidak rela engkau dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahannya pada suatu hari esok.”
Seterusnya kami menyeru kepadanya untuk menerima Islam dan kami ceritakan tentang rancangan pertemuan kami dengan Rasulullah s.a.w di Aqabah.
Berkata Kaab, “tanpa berlengah, beliau mengucap dua kalimah syahadah dan beliau turut serta dipertemuan di Aqabah serta beliau menjadi naqib dan ketua.”
Kemudian berkata Kaab lagi, “pada malam itu kami segera tidur bersama-sama kaum kami di samping peralatan perjalanan. Apabila berlalu sepertiga malam, kami pun keluar dari perkarangan khemah untuk menemui Rasulullah s.a.w. Kami keluar bersembunyi seperti burung puyuh melalui denainya, hinggalah kami semua bertemu dan berkumpul di persimpangan Aqabah. Jumlah kami kesemuanya adalah tujuh puluh tiga lelaki dan dua wanita iaitu Nusaibah binti Kaab yang dikenali sebagai Ummu 'Ammarah dari kabilah Bani Mazin bin al-Najar yang kedua ialah Asma' binti Amru dikenali sebagai Ummu Mani' dari kabilah Bani Salamah.”
“Kami semua berkumpul di persimpangan yang dijanjikan, menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w, kemudian tepat pada masanya, Rasulullah s.a.w. pun tiba. Bersama turut serta mengiringi Rasulullah s.a.w ialah al-Abbas bin Abd al-Muttalib, beliau masih lagi dengan agama kaumnya, namun beliau rela menyertai dan menyokong urusan anak saudaranya itu dan beliau pula orang pertama bercakap di dalam majlis itu.”
Apabila kesemua tujuh puluh tiga orang telah sampai di Aqabah maka mereka telah mengucap syahadah. Kemudian Baginda memberi nasihat hidup secara berakhlak mengikut panduan dari Allah terhadap mereka. Seterusnya salah seorang wakil mereka bertanya bagaimana pula syarat untuk Rasulullah s.a.w.? Baginda menjelaskan,
“Sekiranya aku ke Madinah ke tempat kamu maka hendaklah kamu mempertahankan aku sebagaimana isteri-isteri dan anak-anak kamu.”
Lalu mereka bertanya lagi apakah ganjaran yang mereka dapat dengan mempertahankan Baginda. Dijawab oleh Rasulullah s.a.w,
“Untuk kamu syurga Allah, tiada janji-janji dunia tetapi untuk kamu syurga Allah.”
Kemudian mereka berikrar tidak akan membatalkan perjanjian ini. Maka bangun seorang demi seorang memeterai baiahnya dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda menjaminkan syurga Allah buat mereka. Manakala baiah kaum wanita yang dimeteraikan di dalam kedua-duanya adalah melalui lafaz akad baiah sahaja tanpa Baginda berjabat tangan dengan mana-mana perempuan ajnabi.
Seterusnya berkata Baginda, "kamu semua adalah penjamin seperti mana golongan al-Hawariyun adalah penjamin kepada Isa bin Mariam dan aku adalah penjamin kepada umat ku."
Lalu dijawab oleh mereka sebulat suara dengan lafaz; "Ya".
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir