Rasulullah s.a.w mempersiapkan pasukan tentera muslimin untuk menghadapi peperangan Hunain. Jumlah tentera muslimin adalah 12,000 orang iaitu 10,000 orang dari kalangan yang datang dalam pembukaan kota Mekah dan 2,000 orang dari kalangan penduduk Mekah yang baru masuk Islam. Baginda juga meminjam 100 helai baju besi milik Safwan bin Umaiyah yang belum Islam untuk mempertahankan Mekah.
Baginda mengarahkan pasukan tentera muslimin keluar dari kota Mekah untuk berperang bagi mengelakkan kerosakan kota Mekah dan pada masa yang sama bagi membendung berlakunya serangan oleh penduduk Mekah yang belum Islam atau mereka yang berpaling tadah. Jika berlaku serangan di kota Mekah pasti keadaan akan menjadi sukar. Ini kerana sekiranya berlaku serangan dari luar dan dalam serentak pasti kaum muslimin akan terkepung.
Tentera muslimin bergerak pada tanggal 6 Syawal tahun ke 8 Hijrah. Mereka menuju ke Taif kerana mengelakkan pertempuran di Mekah. Tentera musyrikin telah sampai ke satu tempat bernama Wadi Hunain iaitu satu lembah yang sesuai untuk berkhemah. Jumlah tentera musyrikin adalah 20,000 orang. Tentera Musyrikin telah tiba lebih dahulu dari tentera muslimin dan mereka telah menguasai beberapa bukit. Kemudiannya barulah tentera muslimin tiba di tempat tersebut.
Pasukan perisik Baginda datang dan memberitahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa tentera musyrikin datang dengan harta yang banyak, unta-unta, membawa anak-anak dan kaum wanita bersama mereka. Mendengar maklumat ini Baginda tersenyum dan berkata esok harta tersebut akan menjadi harta rampasan perang.
Peperangan Hunain ini adalah dengan jumlah tentera muslimin yang paling ramai sepanjang peperangan yang pernah tentera muslimin sertai. Para Sahabat berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah s.a.w! Kita tidak akan dikalahkan kerana kekurangan bilangan tentera. Jika kita kalah ianya bukanlah kerana kekurangan tentera.”
Kata-kata Sahabat ini telah disahut dan menjadi keyakinan kepada tentera Islam terutamanya bagi mereka yang baru memeluk Islam. Namun Allah menegur kata-kata ini sepertimana yang disebut oleh al-Quran,
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu kemudiannya kamu berpaling undur melarikan diri. (Surah Taubah 9:25)
Kemenangan bukanlah dengan jumlah tentera yang ramai bahkan berapa banyak peperangan yang telah mereka tempuhi dengan berjaya adalah kerana pertolongan Allah. Sifat berbangga yang berlebihan sesuatu yang tidak disukai oleh Allah lalu mereka mendapat teguran langsung dari Allah.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir