Peristiwa Sedih Berganda : Tragedi Bir Ma’unah (samb)
Amru Bin Umayyah yang telah ditawan dibawa bertemu dengan Amir Bin Tufail. Apabila mengetahui beliau adalah dari keturunan Dhamrah, maka teringatlah Amir Bin Tufail tentang nazar ibunya yang mahu membebaskan hamba dari keturunan Dhamrah. Lalu Amir Bin Tufail telah membotakkan kepala Amru Bin Umayyah agar nampak sebagai seorang hamba dan kemudian beliau dibebaskan.
Amru Bin Umayyah segera pulang ke Madinah. Dalam perjalanan pulang ini Amru Bin Umayyah berhenti rehat di satu pohon. Turut serta berehat di situ adalah 2 orang dari kabilah Bani Amir. Melihat mereka tidur Amru Bin Umayyah membunuh kedua-duanya sebagai membalas pembunuhan yang telah dilakukan oleh kabilah Bani Amir terhadap rombongan Islam. Tindakan Amru Bin Umayyah ini adalah salah kerana kedua-dua orang ini telah mendapat jaminan keselamatan dari Baginda sedangkan Amru Bin Umayyah tidak mengetahuinya.
Tiba sahaja di Madinah beliau mendapatkan Baginda dan menceritakan kisah pembunuhan tragis rombongan yang dikirim oleh Baginda serta beliau telah membunuh 2 orang dari kabilah Bani Amir semasa dalam perjalan pulang ke Madinah.
Mendengar khabar berita ini Baginda merasa amat sedih mengenangkan mereka yang dibunuh adalah golongan yang alim, ahli al Quran dan sangat hebat pula ibadah malamnya. Kesedihan berganda buat Baginda mengenangkan mereka dibunuh dengan kejam tanpa ada ruang membela dan mempertahankan diri. Mereka pergi dengan ilmu di dada bukan membawa senjata untuk bertempur hanyalah hujah dan kasih sayang mengajak mentauhidkan Allah. Lebih memilukan juga kerana jumlah syuhada yang terkorban dalam masa yang singkat di medan Uhud, Maa’ al Raji’ dan Bir Ma’unah adalah 150 0rang.
Kesedihan ini menyebabkan Baginda mengadu kepada Allah dengan berterusan selama 30 hari Baginda membaca qunut dalam setiap 5 waktu solat mendoakan kemusnahan kepada kabilah-kabilah yang membunuh umat Islam. Riwayat dalam hadis sahih dari Anas katanya, Rasulullah s.a.w mendoakan kemusnahan mereka yang membunuh sahabat-sahabatnya di Bir’ Ma'unah selama tiga puluh pagi. Baginda mendoakan kemusnahan ke atas kabilah Raal, di Zakwan Lahyan dan Usaiyah dengan sabdanya: "Usaiyah memaksiati Allah dan RasulNya dengan itu Allah menurunkan ke atas NabiNya ayat-ayat al-Quran mengenainya yang kami membacanya, namun ianya dinasakhkan. Setelah itu Rasulullah s.a.w pun meninggalkan Qunut itu.
Manakala pembunuhan yang dilakukan oleh Amru Bin Umayyah Baginda memaafkan beliau kerana beliau tidak tahu namun Baginda menghantar wakil meminta maaf kepada kabilah Bani Amir serta membayar diyat atau ganti rugi atas kematian tersebut. Berkata Baginda kepada Amru Bin Umayyah, "sesungguhnya engkau telah membunuh dua orang di mana aku berkewajipan membayar pampasannya.”
Maka Baginda pun sibuk mengumpul pampasan itu dari kaum muslimin di Madinah dan sekutu-sekutu Yahudi agar semua bertanggungjawab terhadap peristiwa yang telah berlaku. Antara yang turut diminta untuk turut membayar gantirugi adalah Yahudi Bani Nadhir yang masih menetap di Madinah.
Manakala Abu Bara’ Amir Bin Malik mendapat khabar anak saudaranya Amir Bin Tufail telah membunuh rombongan Islam yang mendapat jaminan beliau. Kemudian beliau menjadi sangat marah dan segera menuju untuk menemui anak saudaranya itu. Apabila tiba dihadapan Amir Bin Tufail beliau terus menikamnya dengan tombak. Namun Amir Bin Tufail tidak mati hanya mengalami kecederaan. Kesedihan yang amat sangat menimpa Abu Bara’ Amir Bin Malik kerana mengetahui rombongan Islam telah dibunuh. Kesedihannya berpanjangan sehingga beliau meninggal dunia dengan penuh rasa penyesalan.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir