Perang Khaibar : Hukuman Bunuh Kepada Anak Pemimpin Khaibar
Persetujuan yang telah dicapai bagi menamatkan pengepungan penempatan Yahudi Khaibar adalah mereka tidak boleh menyembunyikan harta, emas dan perak. Semuanya ini hendaklah diserahkan dan ditinggalkan sebelum keluar dari penempatan mereka. Namun anak pemimpin Yahudi Khaibar iaitu Kinanah bin Abi Huqaiq dan Rubayya bin Abi Huqaiq telah bertindak menyembunyikan harta emas dan perak yang telah dibawa oleh Bani Nadhir ke Khaibar ketika diusir keluar dari Madinah dahulu.
Harta tersebut disembunyikan di dalam lubang yang dikorek dan ditimbus bagi menghilangkan kesannya. Menurut riwayat Ibnu Ishaq berkata:
“Kinanah al-Rabi’ di bawa menghadap Rasulullah s.a.w, yang ada bersama beliau adalah harta simpanan Bani Nadhir yang berharga. Baginda bertanya di mana barang-barang itu, Ibn al-Rabi’ berkata beliau tidak mengetahui di mana harta tersebut. Lalu dibawa kepada Rasulullah s.a.w seorang lelaki Yahudi dan berkata beliau; “Sebenarnya aku pernah melihat Kinanah berulang alik ke tempat usang itu setiap pagi. Lalu bertanya Rasulullah s.a.w kepada Kinanah ; "Sanggupkah kamu dibunuh sekiranya kami menjumpai harta tersebut?" Jawab Kinanah: "Ya boleh". Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh sahabatnya menggali tempat tersebut. Hasilnya dijumpai sebahagian harta yang sengaja disembunyikan. Baginda bertanya di mana baki sebahagian lagi, namun beliau enggan menunjukkan tempatnya. Seterusnya Rasulullah s.a.w menyerahkan beliau kepada Zubair dengan katanya; "Siksa beliau agar berjaya kita bawa keluar yang bakinya". Zubair menyiksa Kinanah dengan meletakkan hujung dahan yang dibakar ke dadanya. Kemudian Baginda mengarahkan diserah Kinanah kepada Muhammad bin Salamah. Beliau pun terus memenggal lehernya sebagai balasan di atas kematian Mahmud bin Salamah iaitu adiknya yang dibunuh oleh orang Yahudi dengan cara lontaran batu penggiling ketika adiknya itu berlindung tembok di kubu Na'im dahulu.
Manakala menurut riwayat dari Ibnu al-Qayyim bahawa Rasulullah s.a.w mengarah supaya dibunuh kedua-dua anak lelaki Abi al-Huqaiq. Lelaki Yahudi yang memberitahu bahawa harta tersebut berada dalam pengetahuan anak Abi al-Huqaiq adalah sepupu kepada Kinanah sendiri.
Dengan hukuman bunuh tersebut maka isteri kepada Kinanah Bin Abi Huqaiq telah menjadi tawanan. Isteri beliau bernama Sofiyyah binti Huyay Bin Akhtab. Apakah yang terjadi kepada Sofiyyah binti Huyay?
Besambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir