Peperangan Zat al -Riqa’
Setelah tentera Islam berjaya menewaskan Yahudi Bani Nadhir dan mengeluarkan mereka dari bumi Madinah berlaku satu lagi peristiwa perang yang dikenali dengan Zar al Riqa’ atau juga dikenali oleh ahli sirah dengan peperangan An Najd. Peperangan ini berlaku pada bulan Jamadilawal tahun ke 4 Hijrah. Kabilah-kabilah Bani Muharib dan Bani Tha’labah dari suku Ghatafan sekali lagi telah merancang untuk menyerang Madinah dan berita ini telah sampai ke pengetahuan Baginda. Tindakan segera diambil oleh Baginda dengan mengarahkan tentera muslimin menuju ke penempatan suku Ghatafan.
Baginda telah melakukan tindakan yang paling tepat dengan tidak memberi peluang kepada mana-mana kabilah yang cuba mengambil kesempatan terhadap umat Islam yang pada anggapan musuh kekalahan di perang Uhud adalah peluang untuk menyerang Madinah. Apabila tentera muslimin sampai, di dapati suku Ghatafan sudah bersedia dengan jumlah tentera yang berlipat kali ganda lebih banyak berbanding tentera muslimin. Namun tentera muslimin tidak sedikit pun gerun melihat jumlah tentera suku Ghatafan itu.
Kini tentera Islam sudah berhadapan dengan tentera Ghatafan namun masing-masing menanti siapa yang akan mulakan serangan. Suku Ghatafan yang pada awalnya nampak gagah dan berani kini mulai rasa gerun dan takut melihat tentera muslimin. Perasaan takut ini dicampakkan oleh Allah ke dalam jiwa mereka. Walaupun sudah berhari-hari mereka berhadapan namun tidak ada keberanian bagi suku Ghatafan untuk menyerang.
Suku Ghatafan mendapat satu idea untuk menyerang tentera muslimin ketika mereka sedang melaksanakan solat pada waktu yang terdekat. Maka turunlah perintah Allah kepada Baginda menyuruh tentera muslimin solat khauf (solat ketika perang). Perintah Allah tetap dijunjung tinggi maka para Sahabat melaksanakan perintah solat khauf ini. Sebahagian solat dan sebahagian lagi mengawal Baginda.
Melihat keadaan itu maka akhirnya suku Ghatafan tidak jadi untuk menyerang tentera muslimin kerana sememangnya tiada ruang dan peluang untuk menyerang tentera muslimin. Tentera muslimin solat dengan senjata masih ditangan mereka dan kawalan yang sangat ketat. Keputusan akhir telah diambil oleh suku Ghatafan adalah berundur ke bukit meninggalkan tentera muslimin tanpa melakukan apa-apa serangan. Mereka menjadi takut dan terus beredar. Baginda dan para Sahabat tetap berada di tempat itu selama beberapa hari kemudian barulah Baginda kembali ke Madinah.
Apakah kesan dari tindakan Baginda? Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir