Mus’ab Bin Umair
Nama beliau adalah Mus’ab Bin Umair Bin Hashim Bin Abdul Manaf Bin Abdud Dar Bin Qushay Bin Kilab al Abdari al Qurasyi. Beliau berketurunan bangsawan Quraisy dan seorang yang datang dari keluarga yang kaya. Beliau lahir empat belas tahun selepas kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w.
Mus’ab Bin Umair seorang anak yang sangat disayangi oleh ibunya. Beliau sentiasa mengenakan pakaian dari kain yang mahal kualitinya, rambutnya sentiasa disisir rapi dan memakai wangi-wangian yang harum. Para gadis terpaku melihat ketampanan dan keluhuran akhlaknya.
Satu hari beliau telah mendengar tentang Rasulullah s.a.w yang mengajarkan agama di rumah Arqam bin Abi Al Arqam. Lalu beliau telah menghadiri majlis ilmu tersebut dan mendengar alunan al Quran yang dibacakan oleh Baginda. Apabila mendengar alunan al Quran jiwanya terasa tenang dan beliau menerima Islam. Ketika itu dakwah masih disebarkan secara senyap-senyap. Begitulah setiap ketika Mus’ab akan mencari masa dan secara diam-diam akan menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.
Kafir Quraisy sentiasa memerhati tingkah laku penduduk Mekah yang dicurigai akan menerima dakwah Rasulullah s.a.w. Pada satu hari ketika Mus’ab menuju ke rumah Arqam seorang lelaki bernama Uthman Bin Thalhah telah melihat beliau memasuki rumah Arqam dan keesokkannya pula dia melihat Mus’ab solat seperti Rasulullah s.a.w. Uthman Bin Thalhah telah melaporkan kepada ibu Mus’ab tentang keislamannya.
Ibu Mus’ab seorang wanita yang tegas, penyembah berhala yang kental dan wanita yang digeruni sangat marah apabila mengetahui Mus’ab telah meninggalkan sembahan kepada berhala. Mus’ab pulang ke rumah dan mendapati ibunya, ahli keluarganya dan pembesar Mekah sudah bersedia mahu mendengar penjelasan darinya tentang keislamannya. Mus’ab menerangkan beliau beriman kepada Allah dan Rasulullah, beliau telah membacakan beberapa ayat al Quran sebagai hujah kebenaran serta mengajak mereka kepada Islam.
Ibunya amat marah dan berulang kali mengajaknya kembali kepada agama penyembahan kepada berhala. Pujukan, desakan, amaran dan pelbagai cara digunakan untuk mengembalikan Mus’ab kepada agama asal yang menyeleweng tetapi semuanya tidak berjaya. Penganiayaan kepada fizikal mula dikenakan kepada Mus’ab, tidak diberi makan dan minum dan dikurung oleh keluarganya sehingga kesan luka nampak pada tubuhnya. Namun Mus’ab tetap dengan keimanannya. Ibunya hampir hilang arah lalu telah bernazar di hadapan berhala tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab kembali kepada agama asal mereka.
Satu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan yang pucat lesi akibat dari nazar tidak mahu makan dan minum. Beliau telah menghampiri ibunya dan bertanya kenapa ibunya tidak mahu makan dan minum. Ibunya berkata itu nazarnya kepada berhala yang disembah. Mus’ab yang merasa sedih melihat keadaan ibunya tetap dengan keimanan kepada Allah dan Rasul bahkan mengajak ibunya agar menerima Islam sebagai agama kehidupan.
Keluarga Mus’ab tidak dapat berbuat apa-apa lagi dengannya, kemudian Mus’ab telah dihalau keluar dari rumah tanpa memiliki apa-apa pun. Beliau telah bekerja menjual kayu api untuk menyara hidupnya. Para penduduk Mekah melihat Mus’ab seorang yang hebat dahulunya dengan pakaian yang mahal, rambut yang sentiasa tersisir, haruman dari minyak wangi dan kesegakkan tubuhnya kini adalah seorang yang tidak memiliki apa-apa kemewahan. Semuanya demi mempertahankan aqidahnya dan keimanannya.
Ali bin Abi Talib berkata, “Satu hari kami duduk bersama Rasulullah s.a.w di masjid, kemudian muncullah Mus’ab bin Umair dengan mengenakan kain burdah yang kasar dan memiliki beberapa tampalan. Ketika Rasulullah s.a.w. melihatnya, beliau pun menangis teringat akan kenikmatan yang dia miliki dahulunya (sebelum memeluk Islam) dibandingkan dengan keadaannya sekarang.” (Hadis Tirmidzi ).
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir