Segala harta rampasan perang telah selesai diagihkan kemudian Baginda masuk ke Mekah dari Ja’ranah untuk menunaikan umrah. Baginda masuk menunaikan umrah pada penghujung bulan Zulkaedah dan seterusnya kembali ke Madinah tanpa menunggu untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun tersebut iaitu tahun ke 8 Hijrah.
Urusan kepimpinan di Mekah diserahkan kepada seorang pemuda yang bernama Itab bin Usaid. Manakala Mu’adz bin Jabal pula ditinggalkan untuk mengajarkan al-Quran dan agama Islam kepada penduduk Mekah. Kini Mekah bebas dari pelbagai berhala yang disembah selain daripada Allah. Umat Islam bebas masuk ke Mekah tanpa halangan lagi oleh musyrikin. Islam pula semakin berkembang di wilayah Arab.
Selain itu beberapa kabilah telah pergi bertemu Baginda di Madinah dan mengistiharkan keislamannya antaranya Bani Tamin, Bani Amir, Bani Abdul Qais, penduduk Yamamah dan beberapa lagi. Dengan ini Islam semakin luas berkembang dan Rasulullah s.a.w amat gembira melihat kebenaran dakwah Baginda mulai diterima.
Seterusnya Baginda menyusun pula strategi untuk mengembangkan Islam selain dari kalangan keturunan Arab sahaja. Islam bukan hanya untuk orang Arab tetapi adalah untuk sekalian manusia. Tugas Baginda sebagai Rasul adalah mengajak manusia untuk kenal dan hanya mentauhidkan Allah sahaja. Lihat firman Allah dalam al-Quran,
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ
Maksudnya : Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". (Surah al-Anbiya 21:25)
Baginda menetapkan tempat yang akan dituju adalah kerajaan Rom yang dikenali dengan kekuatan ketenteraannya. Baginda membuka peluang kepada mana-mana kabilah untuk bersama Baginda dalam misi ini. Pastinya rombongan ini bukan sekadar rombongan biasa tetapi adalah pasukan perang yang lengkap dengan persenjataan.
Peperangan ini dikenali dengan Peperangan Tabuk. Insya Allah akan dibincangkan tajuk ini esok.
Ust. Sabir