Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Golongan muda tidak mahu menerima perjanjian damai yang telah dicadangkan oleh pemimpin Quraisy yang lebih tua. Mereka lebih cenderung untuk berperang maka mereka telah merancang untuk mecari jalan agar peperangan tetap akan berlaku. Lalu mereka mengumpul seramai 70 ke 80 orang untuk melakukan serangan hendap pada waktu malam ke khemah-khemah rombongan muslimin. Pada malam hari tersebut mereka telah cuba memasuki khemah-khemah muslimin namun tindakan mereka telah dikesan oleh Muhammad Bin Salamah iaitu ketua pengawal yang bertugas pada malam tersebut. Kesemua mereka telah dikepung dan ditangkap serta dibawa ke hadapan Baginda.
Berita tentang penangkapan mereka telah sampai ke pengetahuan Quraisy. Lalu pihak Quraisy segera membuat persiapan untuk berperang. Manakala Rasulullah s.a.w. berkata kepada pemuda Quraisy yang ditangkap, “kami datang bukan untuk berperang kami hanya mahu melakukan Umrah maka biarlah kami melakukan Umrah.”
Seterusnya Baginda mengarahkan kesemua yang ditangkap dibebaskan. Apabila kesemua mereka kembali semula bertemu pemimpin Quraisy maka yakinlah mereka memang rombongan kaum muslimin memang tidak niat untuk berperang dan hanya satu tujuan sahaja untuk mengerjakan umrah. Al Quran menceritakan tindakan musuh yang sentiasa merancang untuk melakukan kerosakan kepada umat Islam tetap mendapat pertolongan Allah. Lihat firman Allah,
وَهُوَ الَّذِي كَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ عَنْهُمْ بِبَطْنِ مَكَّةَ مِنْ بَعْدِ أَنْ أَظْفَرَكُمْ عَلَيْهِمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
Maksudnya : Dan Dialah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Mekah, sesudah Dia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. (Fath 48:24)
Baginda Rasulullah s.a.w menukar pula strategi dari menerima wakil Quraisy kepada menghantar wakil dari kalangan muslimin untuk bertemu dan berbincang sendiri dengan ketua Qurasisy iaitu Abu Sufyan Bin Umayyah. Seterusnya Baginda memanggil Umar al Khattab dan mencadangkan agar beliau menjadi wakil untuk bertemu Abu Sufyan Bin Umayyah. Namun Umar al Khattab berkata kepada Baginda, “ wahai Rasulullah s.a.w, kamu mengetahui bahawa aku ini seorang yang paling keras ke atas orang-orang Quraisy. Bahkan sudah tidak ada lagi kaumku di Mekah yang boleh melindungi aku. Jika mahu dihantar wakil bertemu Quraisy hantarlah seorang yang berkedudukan dan yang ada pembela di Mekah.”
Lalu bertanya Baginda, “siapakah orang itu.”
Jawab Umar, Uthman Bin Atfan kerana beliau dari keturunan Umayyah dan Abu Sufyan juga dari keturunan Umayyah.”
Cadangan Umar al Khattab diterima Baginda, maka dihantarlah Uthman Bin Affan untuk bertemu Abu Sufyan. Apabila Uthman Bin Affan sampai lalu Abu Sufyan menyambutnya dan memuliakannya. Beliau lantas mempelawa Uthman Bin Afffan untuk melakukan tawaf. Namun berkata Utman Bin Affan, “aku tidak akan tawaf melainkan Muhammad yang tawaf dahulu.”
Abu Sufyan meminta Utman Bin Affan untuk tinggal bersamanya dan tidak mahu Uthman Bin Affan kembali ke khemahnya sewaktu beliau pergi berbincang dengan pemimpin Quraisy. Kelewatan kembalinya Uthman telah meresahkan para Sahabat sehingga mereka khuatir sesuatu yang buruk menimpa beliau.
Keadaan semakin cemas. Apakah tindakan yang diambil oleh Baginda dalam situasi ini? Kita sambung esok.....Insya Allah.
Ust. Sabir