Peperangan Zat al-Riqa’ (samb)
Peperangan ini dinamakan dengan Zat al-Riqa’ kerana para tentera muslimin terpaksa membalut kaki mereka dengan kain akibat luka. Perjalanan yang jauh dan jumlah kenderaan mereka yang terbatas telah memberi kesakitan dan kecederaan pada kaki mereka. Namun mereka tidak sedikit pun merungut sepanjang perjalanan ini.
Semasa bersama-sama Baginda menanti serangan dari pihak musuh, para tentera muslimin dapat peluang bersama dengan Baginda mengutip mutiara-mutiara ilmu. Bahkan tentera muslimin yang berjumlah 400 orang ini dapat melihat kelembutan bicara dan tindakan Baginda menangani situasi yang genting apabila musuh sentiasa mencari peluang untuk melenyapkan Islam di atas muka bumi.
Pada masa yang sama Allah memerintahkan ibadah solat tetap dilaksanakan dengan penurunan wahyu cara solat khauf (solat ketika perang). Baginda mendidik para tentera muslimin betapa penting melaksanakan perintah solat tiada sebab untuk meninggalkannya walaupun dalam apa jua situasinya. Kebergantungan dengan Allah jualah yang menjanjikan keselamatan dan kemenangan.
Satu peristiwa berlaku ketika tentera muslimin sedang beredar pulang ke Madinah dan mereka telah berhenti rehat di khemah. Pada malam tersebut dua orang sahabat iaitu Abbad Bin Bisyr seorang Ansar dan Ammar Bin Yasir seorang Muhajirin ditugaskan bergilir untuk berkawal. Ketika Ammar Bin Yasir tidur sebentar Abbad Bin Bisyr berkawal dengan solat malam.
Tiba-tiba seorang tentera Ghatafan yang bersumpah mahu membunuh tentera muslimin telah mengejar rombongan ini. Tentera Ghatafan ini seorang yang pakar memanah telah memanah Abbad Bin Bisyr yang sedang solat dan telah mengenai bahunya. Namun Abbad Bin Bisyr mencabut panah tersebut dan meneruskan solatnya kerana beliau tidak mahu memberhentikan bacaan surah di dalam solatnya. Tentera Ghatafan ini sekali lagi memanah kali kedua dan bagi kali kedua Abbad Bin Bisyr tetap meneruskan solatnya dengan mencabut anak panah tersebut. Lelaki Ghatafan ini memanah sekali lagi dan kali ini Abbad sujud dan mengejutkan Ammar Bin Yasir kerana khuatir keselamatan tentera muslimin yang lain.
Ammar Bin Yasir terperanjat melihat darah pada tubuh Abbad Bin Bisyr dan berkata apa yang berlaku dan kenapa tidak mengejutkan beliau. Berkata Abbad Bin Bisyr, “aku sedang membaca surah dalam solatku yang aku tidak mahu berhenti ditengah ayat ketika membacanya. Kalaulah bukan kerana risaukan keselamatan Rasulullah s.a.w dan tentera Islam nescaya aku tidak berhenti dari solatku.”
Hebat sungguh persaudaraan antara Sahabat Ansar dan Muhajirin ini demi Islam dan Rasulullah. Resepi keimanan yang dididik oleh Baginda sangat indah telah mempertautkan persaudaraan Islam antara mereka. Lihatlah bagaimana hidup mereka sentiasa diisi dengan melakukan solat dan membaca al Quran. Itulah asuhan Baginda terhadap generasi Sahabat yang hidup ketika wahyu diturunkan.
Lelaki Ghatafan merasa hairan melihat tindakan Abbad Bin Bisyr yang tetap dalam solatnya walaupun anak panah sudah hinggap ditubuhnya. Beliau tiba-tiba menjadi takut dan segera melarikan diri kembali kepada kaumnya.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust.Sabir