Peperangan Khaibar (samb)
Setelah kematian Mahrab maka adik beradiknya keluar mencabar tentera Islam. Harith iaitu adik kepada Mahrab berdepan dengan sahabat yang bernama Abu Dujanah yang bertarung sehingga akhirnya Harith dibunuh oleh Abu Dujanah. Kemudian adik Mahrab yang berikutnya iaitu Yasir yang mempunyai tubuh yang tinggi berhadapan dengan Zubair Al Awwam. Tubuh Yasir yang tinggi lampai tidak sedikit pun membantunya berhadapan dengan Zubair yang kesudahannya Yasir mati dibunuh. Baginda bertakbir dan berkata;
“Setiap Nabi ada pengikutnya dan pengikut aku adalah Zubair.”
Seterusnya keluar pula adik Mahrab yang bernama Amir berhadapan dengan Ali Bin Abi Talib. Beliau juga kecundang ditangan Ali Bin Abi Talib. Seterusnya seorang Yahudi bernama Usaid bertarung dengan Muhammad Bin Musalmah dan beliau menerima nasib yang sama seperti yang lain mati ditangan para Sahabat.
Melihat kesemua panglima perang yang handal di kalangan Yahudi tewas maka mereka tidak berani lagi untuk berhadapan dengan cara satu lawan satu. Akhirnya mereka berundur dan kembali ke kubu mereka dengan mempertahankan Khaibar. Peperangan terus berlanjutan sehingga beberapa hari, manakala kubu musuh masih belum berjaya ditembusi lagi oleh tentera-tentera Islam.
Baginda Rasul berkata, “Demi Allah esok aku akan serahkan bendera kepada seorang lelaki yang dicintai Allah dan Rasulnya dan dia juga mencintai Allah dan Rasulnya.”
Mendengar kata-kata Baginda para Sahabat amat berharap agar merekalah yang dimaksudkan oleh Baginda. Pada keesokkan paginya Baginda bertanya di mana Ali Bin Abi Talib. Baginda dimaklumkan bahawa Ali Bin Abi Talib sakit mata, Baginda mengarahkan beliau menemui Baginda lalu disapu matanya oleh Rasulullah s.a.w maka kembali pulih sakit matanya. Seterusnya bendera Islam diberikan kepada Ali Bin Abi Talib untuk mengetuai peperangan untuk menembusi kubu Naim milik Yahudi.
Dengan kepintaran Ali Bin Abi Talib, musuh masuk dalam perangkapnya dan mereka keluar jauh meninggalkan kubu Naim dengan beranggapan tentera muslimin mengalah. Tiba-tiba pasukuan tentera muslimin menyerang dari kiri dan kanan sehingga menyebabkan tentera Yahudi lari untuk memasuki kubunya tapi sudah terlambat. Kubu Naim jatuh ke tangan tentera muslimin dan tentera Yahudi berlindung di kubu Sa’ab Bin Muaz pula.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir