Rasulullah s.a.w mengarahkan semua tenteranya mula memasuki Mekah. Dari empat penjuru tentera yang bergerak semuanya tiada halangan dari kafir Quraisy kecuali pasukan yang di pimpin oleh Khalid bin al-Walid. Pasukannya telah dihalang oleh anak kepada Abu Jahal iaitu Ikrimah serta Sofwan bin Umaiyyah beserta beberapa lagi musyrikin Quraisy. Mereka telah bertindak menghalang pasukan Khalid bin al-Walid untuk mara memasuki Mekah.
Khalid bin al-Walid telah menyeru mereka untuk berundur dan jangan menghalang pasukannya. Seruan Khalid bin al-Walid tidak diendahkan oleh Ikrimah bin Abu Jahal malah beliau memberi amaran iaitu jika mereka hendak masuk juga pedang akan menghalang mereka. Melihat kedegilan Ikrimah bin Abu Jahal maka Khalid bin al-Walid tiada pilihan melainkan terus menggempur mereka. Akibat dari serangan ini berlaku kematian terhadap pasukan musyrikin yang dipimpin oleh Ikrimah bin Abu Jahal manakala tiada korban di kalangan tentera muslimin.
Akhirnya Ikrimah bin Abu Jahal dan Sofwan bin Umayyah melarikan diri keluar dari Mekah manakala dua orang lagi tentera musyrikin iaitu Harith bin Hisyam dan Abdullah bin Abi Rabitah melarikan diri meminta perlindungan di rumah Ummu Hani. Kedua-dua mereka yang cuba mendapat perlindungan di rumah Ummu Hani telah dikejar oleh Ali bin Abi Talib. Ummu Hani bertegas tidak menyerahkan mereka kepada Ali bin Abi Talib. Lalu Ummu Hani pergi menemui Baginda dan mengatakan beliau memberi perlindungan kepada mereka berdua dan Baginda mengizinkannya.
Pasukan Khalid bin al-Walid tiba paling lewat berbanding pasukan yang lain dan beliau menjelaskan kepada Baginda tentang pertempuran kecil yang berlaku akibat halangan oleh Ikrimah bin Abu Jahal dengan pasukan kecil tentera musyrikin. Apabila kesemua pasukan tentera muslimin telah tiba di tempat yang diarahkan oleh Baginda lalu bergeraklah mereka yang berjumlah 10,000 orang menuju ke Kaabah. Baginda bertakbir diikuti oleh para tenteranya dengan laungan yang kuat bergema di kota Mekah. Penduduk Quraisy menjenguk dari celah-celah rumah mereka manakala yang agak berani keluar melihat Baginda dan tenteranya. Antara yang turut serta keluar melihatnya adalah Abu Sufian.
Baginda menuju ke Kaabah dan tawaf di atas tunganggannya sambil membacakan ayat al Quran,
جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Maksudnya : Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Surah Al-Isra’ 17: 81)
جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Maksudnya : Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan menjelang dan tidak (pula) akan mengulangi. (Surah Saba 34:49)
Seterusnya setelah selesai tawaf Baginda minum air zam-zam yang dihulurkan oleh Abbas bin Abdul Mutalib yang merupakan keturunan Bani Hashim yang sememangnya mewarisi hak menguruskan memberi minum dari telaga zam-zam. Baginda tidak mengubah hak penjagaan ini walaupun Islam menguasai Mekah.
Setelah selesai tawaf dan minum air zam-zam apakah tindakan Baginda seterusnya? Tunggu esok ya...Bersambung.
Ust. Sabir