Strategi Tentera Islam Menghadapi Peperangan Uhud (samb)
Ada di kalangan para Sahabat yang rasa seolah-olah bersalah ‘memaksa’ Baginda mengikut pandangan mereka untuk bertempur dengan musuh di luar kota Madinah. Saad Bin Muaz dan Usaid Bin Hadhir telah berkata kepada para sahabat, “kamu telah memaksa Rasulullah s.a.w supaya keluar sepatutnya serahkan sahaja urusan ini kepada Baginda.”
Kemudian Abu Bakar dan Umar telah mengikut Baginda ke rumahnya. Mereka berdua telah membantu memakaikan serban ke kepala Baginda. Seterusnya Rasulullah s.a.w mengambil senjata, memakai baju besi, mengalas pedang dan keluar ke hadapan khalayak ramai.
Ketika melihat Baginda datang dengan pakaian lengkap untuk berperang, maka berkatalah Sahabat, "wahai Rasulullah tidak wajar bagi kami mencanggahi tuan hamba, lakukanlah apa sahaja sehendak tuan hamba. Sekiranya Rasulullah s.a.w lebih suka bertahan di al-Madinah, Rasulullah boleh lakukan".
Lalu Rasulullah s.a.w berkata dengan sabdanya yang bermaksud:
"Tidak wajar bagi seorang Nabi apabila telah memakai baju besinya akan menanggalnya hinggalah Allah membuat penentuan di antaranya dan musuhnya".
Begitulah mulia dan hebatnya Baginda, boleh sahaja menerima pandangan dari kalangan para sahabatnya walaupun Baginda seorang Rasul. Ianya hanya melibatkan penyusunan strategi bukan menolak perintah Baginda. Ianya bukan juga dianggap sebagai tidak wala’ (taat) kepada Baginda. Urusan menyusun strategi adalah urusan dunia yang perlu kepada pandangan sahabat yang mahir dalam urusan peperangan.
Baginda seterusnya menyusun pasukan yang terdiri dari Muhajirin, Aus dan Khazraj. Jumlah keseluruhan tentera muslimin adalah sekitar 1000 orang. Abdullah Bin Ubay turut serta dalam pasukan ini kerana takut dikatakan sebagi seorang yang pengecut. Baginda juga memeriksa pasukan tenteranya bagi memastikan hanya yang layak sahaja yang turut serta dalam peperangan ini. Tiba di Syaikhan Baginda mengarahkan yang kecil dan belum layak dihantar pulang. Antara yang dihantar pulang ialah Abdullah bin Umar bin al-Khattab, Usamah bin Zaid, Usaiyid bin Zahir, Zaid bin Thabith, Zaid bin Arqam, Urabah bin Awsi, Amru bin Hizam, Abu Said al-Khudari, Zaid bin Harithah, al-Ansari dan Said bin Hibbah.
Namun ada pendapat menyebut di antara yang masih muda dan dihantar pulang ialah al-Barra' bin Azid tetapi hadith al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Azib membuktikan kehadiran beliau di dalam peperangan Uhud Itu. Pada masa yang sama Baginda membenarkan Rafi' bin Khudaij dan Sumrah bin Jundub walaupun keduanya terlalu muda, tetapi oleh kerana Rafi' mahir melontar anak panah maka Baginda membenarkannya.
Kemudian Sumrah berkata,"aku lebih gagah darinya, aku pernah mengalahkannya semasa bergusti dengannya, setelah disampaikan hal ini kepada Rasulullah s.a.w, lalu Baginda meminta mereka berdua bergusti dan mereka pun melakukannya. Keputusannya memang Sumrah berjaya mengalahkan Rafi', maka Rasulullah s.a.w pun membenarkan mereka berdua untuk turut serta dalam peperangan ini.
Tentera Quraisy sudah tiba dan berkhemah berdekatan dengan Bukit Uhud. Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir