Baginda bertindak dengan memusnahkan kesemua 360 berhala yang disembah oleh orang-orang kafir yang berada di keliling Kaabah. Satu persatu berhala dihancurkan termasuk berhala yang besar yang bernama Hubal. Berhala besar di kemudian jatuh dan dipecahkan oleh para sahabat yang dahulunya mereka jahiliyyah menyembah dan meminta pertolongan kepada berhala besar ini. Kini mereka memecahkanya dengan tangan-tangan mereka.
Kemudian Baginda memangil Uthman bin Talhah yang telah masuk Islam bersama Khalid bin al-Walid dan Amru bin al-As untuk mengambil kunci Kaabah. Uthman bin Talhah adalah dari keturunan Abdul Dar iaitu keturunan yang memegang kunci Kaabah. Pada masa itu kunci Kaabah berada di rumah ibu Uthman bin Talhah. Ibunya yang masih dalam kekufuran tidak mahu menyerahkan kunci tersebut kepada anaknya kerana kemuliaan memiliki amanah memegang kunci Kaabah dari keturunan mereka akan hilang. Ibunya khuatir Baginda tidak akan memberi semula kepada keturunan Abdul Dar lagi amanah untuk memegang kunci Kaabah.
Kelewatan Uthman bin Talhah membawa kunci telah disusuli oleh Umar al-Khattab dan Abu Bakar As-Siddiq atas perintah Baginda. Apabila Umar al-Khattab mengetuk pintu rumah ibu Uthman bin Talhah, ketakutan menyelubungi ibunya akhirnya kunci tersebut diserahkan juga kepada Uthman bin Talhah.
Uthman bin Talhah membawa kunci tersebut dan diserahkan kepada Baginda. Seterusnya Baginda masuk dan memusnahkan ukiran dan lukisan-lukisan yang menyalahi mengambarkan keEsaan Allah. Setelah selesai Baginda mengarahkan pintu Kaabah ditutup dari dalam. Ketika itu yang ada bersama Baginda adalah Bilal dan Usamah di dalam Kaabah.
Baginda melakukan solat dua rakaat dengan membelakangkan tiga tiang dan dua tiang dihadapannya serta satu tiang di kirinya. Setelah solat Baginda bertakbir dan mengungkap kalimah tauhid di setiap penjuru dalam Kaabah. Setelah itu barulah pintu Kaabah dibuka. Kunci Kaabah tetap diberikan oleh Baginda kepada keturunan Abdul Dar untuk memegang amanahnya sehingga hari Kiamat.
Setelah solat Baginda keluar dari Kaabah, pada waktu itu kaum muslimin dan Quraisy menanti apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Semuanya menanti apakah gagasan baru untuk Mekah? Bagaimana nasib kaum Quraisy yang tinggal di Mekah? Apakah ada kemaafan atau ada yang akan dihukum? Semuannya menanti penuh debaran melihat Baginda keluar dari pintu Kaabah. Setiap mata tertumpu pada Baginda dalam keadaan senyap dan sunyi menanti mutiara kata-kata Baginda.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir