Rasulullah s.a.w Mengerjakan Umrah Al-Qada’
Setahun telah berlalu setelah perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Kini sudah tiba masanya untuk Rasulullah s.a.w dan para Sahabat kembali ke Mekah untuk menunaikan umrah mereka yang tertangguh dahulu. Baginda menyeru semua yang telah bersama Baginda dalam perjanjian Hudaibiyah turut serta dalam menunaikan umrah kali ini iaitu pada bulan Zulhijah tahun ke 7 Hijrah. Semuanya turut serta melainkan mereka yang telah meninggal dunia bahkan jumlah yang bersama kali ini adalah 2000 orang.
Perjalanan Baginda kali ini dengan membawa kelengkapan senjata bagi persediaan sekiranya pihak Quraisy melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Baginda memulakan ihram umrah dari miqat Zul Hulaifah. Bermula di situ Baginda memulakan talbiah yang diikuti oleh sekalian kaum muslim yang bersamanya. Apabila tiba di Ya’jaj Baginda meninggalkan segala senjata yang dibawa ini kepada Aws Bin Khawli al-Ansari dan 200 orang yang bersamanya. Kemudian Baginda dan para Sahabat memasuki Mekah dengan membawa pedang yang tersarung sebagaimana yang telah dipersetujui dalam perjanjian Hudaibiyah. Lalu Baginda menunggang untanya bernama Qaswa memasuki Mekah.
Pihak Quraisy telah beredar dari Kaabah menuju ke Bukit Qaiqu’an iaitu bukit yang berada di sebelah utara Kaabah. Tujuan mereka adalah untuk melihat rombongan kaum muslimin ini. Lalu mereka berkata sesama mereka, lihatlah rombongan muslimin itu lemah dan letih. Baginda mengarahkan supaya para Sahabat berlari-lari anak pada permulaan tiga pusingan yang pertama dan berjalan pada pusingan yang berikutnya sehingga selesai tawaf. Baginda juga turut mengarahkan agar didedahkan bahu kanan serta meletakkan hujung kain ihram dibahu kiri. Ini bagi membuktikan kaum muslimin gagah serta bukannya lemah dan letih.
Melihat Baginda dan para Sahabat tawaf pihak Quraisy terpegun kerana menyangka mereka lemah dan letih adalah sesuatu yang meleset. Apabila telah selesai tawaf Baginda menuju ke Safa dan Marwah untuk saie sebanyak tujuh kali. Kemudian Baginda bertahlul dan menyembelih haiwan qurban. Maka selesailah ibadah umrah yang tertangguh setahun yang lalu. Setelah itu barulah rombongan Aws bin Khawli dan 200 orang yang menjaga senjata masuk ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan kawalan senjata diambil alih oleh Sahabat yang lain.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir