Dalam Modul 2, Bahagian 2 kita telah melihat bahayanya kecelaruan maklumat dan sebab-sebab maklumat salah sering disebarkan.
Jom kita lihat bagaimana pula jika kita berdepan dengan teori konspirasi yang selalunya mempunyai pengikut fanatik yang akan memperjuangkan kesahihan teori-teori ini walaupun fakta jelas menunjukkan sebaliknya.
Teori bumi rata adalah antara teori konspirasi yang popular dan mempunyai ribuan pengikut di seluruh dunia. Walaupun telah banyak bukti saintifik menunjukkan bentuk muka bumi adalah berbentuk sfera, namun, teori bumi rata masih dipercayai ramai.
Tonton penjelasan Cikgu Emily dalam video di bawah tentang mengapa teori konspirasi seperti bumi rata boleh tersebar luas.
Jawab soalan-soalan yang tertera dalam video ini.
Transkrip
Salam sejahtera dan salam perkenalan, rakan-rakan guru sekalian. Saya, Cikgu Emily, dari SM Sri KDU akan membimbing anda melalui Bahagian 2 Modul 6, yang berkisar mengenai sisi gelap teknologi. Video ini akan membentangkan suatu kajian kes tentang penggunaan maklumat yang boleh dipengaruhi unsur-unsur bias. Video ini akan berhenti di beberapa tempat bagi menyemak kefahaman serta meninjau pandangan anda. Jom kita mulakan.
Bumi kita berbentuk sfera. Ia merupakan fakta sains yang sudah lama diterima oleh masyarakat. Bukti pertamanya, kita boleh memerhati kapal ‘hilang’ apabila melintasi garisan ufuk lautan. Keduanya, pengkajian fenomena gerhana bulan oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle, mendapati bahawa bayangan bumi di permukaan bulan berbentuk bulat. Ketiganya, graviti yang menarik semua orang ke pusat bumi adalah sama rata, dan menjamin berat kita sentiasa sama tidak kiralah di mana kita berada di permukaan bumi.
Nyatakan bukti bumi berbentuk sfera.
Dalam dunia pendidikan, unit 10 dalam buku teks Sains KSSR Tahun 6 ada membincangkan fenomena gerhana bulan. Tambahan pula, bab Bumi Sebagai Sfera dalam mata pelajaran Matematik KBSM Tingkatan 5 mendedahkan pelajar kepada ilmu asas dalam mengenal pasti koordinat dan jarak di antara dua titik atas permukaan bumi menggunakan longitud dan latitud.
Melalui penerapan dalam kurikulum sekolah, sudah maklumlah bahawa fakta bumi sfera yang berasaskan sains merupakan informasi arus perdana. Akses kepada maklumat ini tidak terhindar.
Namun demikian, terdapat segelintir lapisan masyarakat yang bukan sahaja bersetuju, malah menyokong dan menyebarkan teori bumi rata kepada khalayak ramai. Golongan yang digelar ‘Flat Earthers’ ini bergiat secara aktif dalam media sosial dan juga menganjurkan persidangan sendiri. Kenapakah agaknya wujud kepercayaan terhadap teori bumi rata?
Pada pendapat anda, kenapakah agaknya wujud kepercayaan terhadap teori bumi rata?
Pihak The News Literacy Project telah mengetengahkan beberapa sebab orang mempercayai teori konspirasi. Pertamanya, teori-teori konspirasi adalah berbentuk cerita menarik yang memberikan penerangan yang mudah dihadam. Bias-bias kognitif juga dieksploitasi melalui teori konspirasi, iaitu mereka yang mempercayai teori-teori ini akan mengetepikan bukti-bukti yang bercanggah dengan kefahaman sedia ada.
Namun demikian, seperti yang diterangkan dalam bahagian/modul yang sebelumnya, kita harus sedar bahawa informasi pada zaman sekarang bukan sekadar maklumat, malah merupakan jaringan perhubungan antara manusia. Menurut Dr Jennifer Beckett, pensyarah School of Culture and Communication di University of Melbourne, kejayaan komuniti ‘Flat Earthers’ adalah dalam menggabungkan pelbagai media sosial untuk membina sebuah ekosistem kepercayaan yang kukuh. Misalnya, YouTube berfungsi sebagai pusat maklumat, Facebook sebagai pusat berhubung dengan ‘admin’, manakala Twitter digerakkan sebagai medium penyebaran.
Pada pendapat anda, media sosial manakah yang memberikan impak yang paling mendalam terhadap golongan Flat Earthers?
Dr Beckett berpendapat bahawa penggunaan YouTube terutamanya, berjaya menambat hati komuniti ‘Flat Earthers’ kerana ia memupuk rasa keakraban apabila mereka boleh berinteraksi secara spontan dengan ‘pakar-pakar’ teori bumi rata; malah, para penyelidik yang menemu bual 30 peserta persidangan ‘Flat Earth’ di Denver, Colorado telah mendapati bahawa mereka mula mempercayai teori bumi rata setelah menonton video YouTube yang disyorkan secara automatik selepas menonton video-video konspirasi tentang topik-topik lain seperti pendaratan di atas bulan dan peristiwa 9/11.
Di Malaysia pula, media sosial Instagram telah memberikan peluang kepada para penyokong teori bumi rata untuk berhubung terus dengan angkasawan negara kita, Dr Sheikh Mustapha. Beliau menggunakan platform tersebut untuk membuat sedikit perkongsian tentang pengalamannya mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari yang menyebabkan dirinya terpegun dengan kebesaran Ilahi. Namun, melalui Instagram juga beliau telah dicabar untuk bersumpah atas nama Allah bahawa bumi adalah berbentuk sfera.
Natijahnya, kita perlu mengakui bahawa kebenaran dan kesahihan maklumat kepada seseorang individu bukan sahaja terletak pada fakta dan bukti berdasarkan sains; sebaliknya, jaringan maklumat dalam media sosial dan elemen-elemen kemanusiaan seperti emosi, rasa komuniti serta hubungan sesama insan turut mempengaruhi penggunaan maklumat dalam kehidupan seharian.
Apakah pengajaran yang anda dapati daripada kajian kes ini?
Dalam Modul 1, kita telah melihat bagaimana rejim Nazi telah mencipta konspirasi yang mengaitkan semua orang Yahudi sebagai unsur kejahatan dan musuh kepada segala kebaikan. Bagi Adolf Hitler, Yahudi bermaksud segala yang negatif dan isu ini amat mendesak serta perlu diselesaikan dengan segera. Disebabkan kepercayaan yang mendalam ini, Adolf Hitler mampu membina semangat kekitaan dan menyatukan rakyat Jerman pada waktu itu untuk membenci sesiapa sahaja penganut Yahudi. Cuba kita analisis konspirasi di bawah pula:
Antara konspirasi yang popular ialah pendaratan NASA di bulan pada tahun 1969 yang dikatakan sebagai lakonan semata-mata kerana teknologi pada waktu tersebut tidak mampu untuk membawa manusia ke bulan.
Pada pendapat anda, berdasarkan lima sebab di atas, mengapakah konspirasi ini dipercayai ramai?