Apakah sebenarnya heuristik? Jom kita tonton penjelasan melalui video berikut!
Heuristik merupakan kecenderungan otak kita untuk mengagak secara berlebihan kebarangkalian terjadinya sesuatu perkara hanya kerana ia sentiasa bermain di fikiran kita.
Tanpa kita sedar, kita sebenarnya berhadapan dengan bias heuristik setiap hari. Tiket loteri biasanya akan lebih laris dijual apabila ada yang baru sahaja menang besar. Apabila melihat seseorang menang besar, kebanyakan orang ramai akan mengagak secara berlebihan kebarangkalian mereka untuk turut menang.
Jika anda bertanya kepada seseorang sama ada mereka percaya dengan isu pemanasan global semasa waktu hujan ketika musim monsoon, kebarangkalian untuk mendapat respon yang negatif adalah tinggi.
Bias heuristik telah menyebabkan beribu kematian tambahan selepas insiden 9/11 di Amerika Syarikat. Dengan berita kemalangan udara yang meluas dilaporkan media di Amerika setiap hari, berjuta rakyat Amerika merasakan perjalanan menaiki kereta adalah jauh lebih selamat walaupun statistik jelas menunjukkan bahawa perjalanan udara jauh lebih selamat.
Apabila pengguna kereta meningkat berlipat kali ganda untuk perjalanan jarak jauh, terdapat pertambahan lebih dari 2000 kemalangan maut di jalan raya pada tahun tersebut.
Syarikat insurans juga membuat untung berlipat ganda dengan memanipulasi bias heuristik. Pada tahun 2006, insurans melibatkan bencana alam meningkat 700% di Amerika Syarikat.
Kerana apa?
Ribut Katrina berlaku pada tahun tersebut di mana pihak media melaporkan berita demi berita tentang bencana alam setiap hari menyebabkan ia sentiasa bermain di fikiran orang ramai membuatkan mereka gelisah dan merasakan perlu kepada perlindungan insurans tambahan,walaupun risiko mereka untuk menghadapi bencana tidak berubah.
Kajian menunjukkan apabila industri farmaseutikal meningkatkan pelaburan mereka dalam iklan ubat anti-kemurungan, jumlah pesakit yang dilaporkan menghidap penyakit murung naik dengan begitu mendadak sekali. Ini kerana iklan yang dimainkan di media massa menjadikan isu kemurungan kekal bermain fikiran penonton sehingga ia boleh membuatkan penonton berasa seperti mereka juga memerlukan ubat antidepresi.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita memahami konsep heuristik dan bias yang mungkin terjadi supaya kita boleh mengelakkan diri dari membuat keputusan yang tidak tepat.
Heuristik adalah jalan pintas mental yang membolehkan kita menyelesaikan masalah serta membuat penilaian dengan cepat dan cekap.
Strategi praktikal ini memendekkan masa yang diperlukan untuk membuat keputusan dan membolehkan kita berfungsi tanpa perlu berhenti untuk memikirkan tindakan selanjutnya.
Heuristik berguna dalam banyak situasi, tetapi juga boleh menjadi punca bias kognitif yang mungkin membuatkan kita tersilap membuat keputusan.
Pekerjaan mana yang lebih berisiko tinggi? Pegawai polis atau pembalak? Walaupun terdapat kes tembakan melibatkan anggota polis yang mungkin menyebabkan anda berfikir bahawa polis mempunyai pekerjaan yang lebih berbahaya, statistik menunjukkan bahawa pembalak mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mati di tempat kerja berbanding pegawai polis.
Ketika kita membuat penilaian terhadap risiko sesuatu bahaya, otak kita menggunakan beberapa strategi berbeza untuk membuat keputusan dengan cepat. Walaupun pantas, membuat keputusan melalui cara jalan pintas mental ini kadang kala menghasilkan keputusan yang salah.
Terdapat pelbagai jenis jalan pintas mental dan yang paling biasa berlaku, ialah apabila kita bergantung kepada maklumat awal yang terlintas di fikiran. Situasi ini dikenali sebagai ketersediaan (readiness) di mana otak bergantung kepada maklumat sedia ada pada memori kita. Maklumat yang dicerna paling awal biasanya adalah maklumat yang dipercayai sebagai lebih kerap dan biasa berlaku.
Strategi ini sangat membantu semasa anda berusaha membuat keputusan atau pertimbangan. Sebagai contoh, cuba jawab soalan berikut:
Kemungkinan ramai akan jawab Singapura dan bukan Sri Lanka, South Korea atau Saudi Arab. Ini kerana kita sering membaca berita tentang Singapura dan maklumat ini adalah sedia ada pada memori kita atau dalam kata lain, ia mempunyai tahap ketersediaan yang tinggi untuk diingat balik.
Semasa anda berusaha untuk membuat keputusan, sejumlah peristiwa atau situasi yang berkaitan mungkin akan segera muncul di dalam pemikiran anda. Akibatnya, anda mungkin akan menilai bahawa peristiwa itu lebih kerap atau lebih berkemungkinan berbanding yang lain.
Anda meletakkan kepercayaan yang lebih besar terhadap maklumat ini dan cenderung untuk menilai kebarangkalian dan kemungkinan perkara serupa berlaku pada masa akan datang.
Contohnya, setelah melihat beberapa laporan berita tentang kecurian kereta, anda mungkin membuat keputusan bahawa kecurian kenderaan jauh lebih kerap berlaku daripada jumlah kecurian yang sebenarnya berlaku di kawasan anda. Jenis ketersediaan heuristik atau “availability heuristic” ini dapat membantu anda dan penting dalam membuat keputusan.
Apabila berhadapan dengan beberapa pilihan, kita sering kekurangan waktu atau sumber untuk menyelidiki sesuatu dengan lebih mendalam.
Apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan kita membuat keputusan dengan segera, ketersediaan heuristik memungkinkan kita untuk membuat keputusan dengan cepat. Strategi ini sangat membantu semasa anda berusaha membuat keputusan atau pertimbangan tentang dunia persekitaran anda.
Sebagai contoh, adakah anda bersetuju bahawa terdapat lebih banyak perkataan dalam bahasa Inggeris yang bermula dengan huruf t atau huruf k?
Anda mungkin cuba menjawab soalan ini dengan memikirkan sebanyak mungkin perkataan yang bermula dengan setiap huruf. Oleh kerana anda dapat memikirkan lebih banyak perkataan yang bermula dengan t, anda mungkin percaya bahawa lebih banyak perkataan bermula dengan huruf ini daripada huruf k. Dalam contoh ini, ketersediaan heuristik memungkinkan anda mendapat jawapan yang betul.
Bagaimana pula jika anda ditanya tentang mana satu lebih kerap wujud dalam bahasa Inggeris - perkataan yang mula dengan huruf L atau perkataan yang mengandungi huruf L sebagai huruf ke-3?
Cuba fikir dan jawab!
Seperti heuristik lain, ketersediaan heuristik adakalanya berguna pada masa-masa tertentu. Walau bagaimanapun, ia boleh mendatangkan masalah dan kesilapan, seperti contoh yang diberikan di atas.
Laporan penculikan kanak-kanak, nahas kapal terbang, dan berita tentang kereta api tergelincir sering menyebabkan orang ramai percaya bahawa kejadian seperti itu jauh lebih biasa dan kerap berlaku dalam kehidupan seharian.
Contohnya, setelah anda menonton filem tentang bencana nuklear, anda mungkin yakin bahawa perang atau kemalangan nuklear mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk berlaku. Setelah menyaksikan sebuah kereta terbalik di pinggir jalan, anda mungkin percaya bahawa kemungkinan anda sendiri terlibati kemalangan adalah sangat tinggi.
Selain daripada itu, semakin lama anda sibuk mendalami dan mencari maklumat berkenaan perkara tersebut, semakin banyak yang “tersedia” dalam fikiran anda dan semakin tinggi kemungkinan untuk anda mempercayainya. Hakikatnya, peristiwa tertentu cenderung menonjol dalam fikiran kita lebih daripada yang lain jika kita sering memikirkan perkara tersebut.
Liputan media berlebihan boleh menyebabkan kita membentuk heuristik tersedia bagi sesuatu peristiwa. Perkara yang baru yang dibangkitkan menjadi lebih banyak tersedia dalam ingatan anda. Memandangkan peristiwa tersebut diingat dengan cepat oleh anda, ia sangat luar biasa bagi anda dan memberi makna yang lebih besar kepada diri anda. Anda akan beranggapan bahawa peristiwa itu jauh lebih kerap berlaku berbanding realiti sebenarnya.
Berikut adalah beberapa senario di mana bias heuristik boleh berlaku dalam kehidupan seharian anda.
Pengangguran
Setelah menyaksikan laporan berita mengenai orang yang kehilangan pekerjaan, anda mungkin mula percaya bahawa anda berada dalam risiko diberhentikan kerja. Anda mula mengalami kerisauan kerana bimbang akan hilang pekerjaan.
Kes Culik Kanak-kanak
Setelah menyaksikan berita penculikan kanak-kanak, anda mula percaya bahawa tragedi seperti ini kerap berlaku. Anda enggan membenarkan anak anda bermain di luar sendirian, jauh dari pandangan dan pengetahuan anda.
Serangan Ikan Jerung
Setelah menonton beberapa rancangan televisyen mengenai serangan ikan jerung, anda mula berfikir bahawa kejadian seperti ini agak kerap terjadi. Semasa bercuti, anda enggan berenang di lautan kerana percaya kemungkinan diserang jerung adalah tinggi.
Berikut adalah 5 cara yang boleh kita amalkan untuk mengurangkan bias heuristik dalam situasi pekerjaan.
Korteling, J. E., Brouwer, A. M., & Toet, A. (2018). A neural network framework for cognitive bias. Frontiers in psychology, 9, 1561.
Mason, Betsy. (2020). “Making People Aware of Their Implicit Biases Doesn’t Usually Change Minds. But Here’s What Does Work.” PBS.
Tversky, A., & Kahneman, D. (1973). Availability: A heuristic for judging frequency and probability. Cognitive psychology, 5(2), 207-232.
Tversky, A., & Kahneman, D. (1983). Extensional versus intuitive reasoning: The conjunction fallacy in probability judgment. Psychological review, 90(4), 293.
Warton, R. (2017). Thinking, Fast and Slow, by Daniel Kahneman, Farrar, Straus, and Giroux, New York, 2011, 512 pp. Psychodynamic Psychiatry, 45(1), 135-138.