Penyakit demam campak, polio, dan tuberkulosis merupakan antara contoh penyakit yang boleh dicegah melalui suntikan vaksin. Vaksin merupakan salah satu elemen yang paling penting dalam menjamin kesihatan seseorang.
Seperti yang dilihat pada graf di sebelah kiri, jumlah kematian akibat penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin telah menurun daripada 3 juta pada tahun 1990 ke 1.8 juta pada tahun 2017.
Penurunan bilangan kematian ini disebabkan oleh kadar penvaksinan terhadap penyakit-penyakit ini yang kian meningkat seperti yang ditunjukkan pada graf di bawah.
Cuba terokai set data yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO) pada dua graf di bawah. Tekan change country untuk melihat statistik khusus Malaysia
Graf 1: Jumlah kematian akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin dari tahun 1990 ke 2017
Graf 2: Liputan vaksin untuk kanak-kanak berumur 1 tahun dari tahun 1980 ke 2019
Namun demikian, terdapat juga golongan yang berpendapat bahawa vaksin tidak penting atau kurang selamat sehingga mereka memilih untuk tidak memvaksin anak-anak mereka dan bilangan golongan ini juga semakin berkembang.
Dua peta di bawah menunjukkan peratusan rakyat Malaysia yang bersetuju bahawa vaksin itu penting (peta 1) dan juga vaksin itu selamat digunakan (peta 2).
Kita boleh lihat bahawa walaupun dari segi saintifik, vaksin itu memang selamat, efektif dan merupakan antara inovasi yang penting untuk mengurangkan kematian - namun di Malaysia, masih ada 7% rakyat yang tidak setuju tentang kepentingan vaksin dan 3% yang berpendapat bahawa vaksin itu tidak selamat.
Cuba terokai set data yang dikumpulkan oleh WHO pada dua peta di bawah. Tekan Asia untuk melihat statistik dunia dan di benua lain.
Peta 1: Peratus yang bersetuju bahawa vaksin itu penting untuk kanak-kanak pada tahun 2018
Peta 2: Peratusan yang tidak bersetuju bahawa vaksin itu selamat digunakan pada tahun 2018
Selain daripada demam campak, Malaysia juga merekodkan kes pertama polio dalam tempoh 27 tahun pada tahun 2019. Apabila kes ini berlaku, didapati bahawa kadar penduduk yang divaksin hanya pada 89%. Bagi mewujudkan imuniti kelompok, kadar penduduk yang telah divaksin seharusnya mencapai 95% dan ke atas.
Penyakit demam campak (measles) dan polio merupakan penyakit yang mempunyai kadar kebolehjangkitan atau R naught (RO) yang amat tinggi.
Contohnya, setiap pesakit demam campak boleh menjangkiti antara 12 hingga 18 orang dengan titisan air liur semasa bercakap dan untuk polio, bilangan yang boleh dijangkit ialah antara 5 hingga 7 orang.
Untuk mengurangkan jangkitan penyakit-penyakit ini, satu-satu caranya adalah dengan kadar vaksinasi yang tinggi agar dapat mencapai imuniti kelompok dan memutuskan rangkaian jangkitan.
Persoalannya, mengapakah penyakit yang boleh dicegah vaksin kembali merebak di Malaysia?
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan ibu bapa menolak vaksin untuk anak mereka; tetapi secara umumnya, gerakan anti-vaksin begitu percaya terhadap maklumat yang mengaitkan suntikan vaksin dengan autisme yang diterbitkan oleh Dr. Andrew Wakefield dalam kertas penyelidikan beliau.
Data daripada kertas penyelidikan tersebut tidak menguji saiz sampel yang cukup besar untuk membuat kesimpulan bahawa terdapat perkaitan tepat di diantara vaksin dan autisme, dan kes autisme yang direkodkan merupakan kes terpencil. Kajian Andrew Wakefield sudah berulang kali dibuktikan palsu semenjak kajian itu diterbitkan
Namun begitu, golongan anti-vaksin sering menggunakan penemuan kajian ini sebagai bukti vaksin merencatkan pertumbuhan akal bayi kepada orang lain. Mereka akan mencari maklumat yang mengesahkan pandangan mereka terhadap kesan negatif vaksin, membentuk ruang gema dengan orang yang sependapat dengan mereka serta mengabaikan maklumat yang membuktikan kepalsuan tanggapan mereka. Ia merupakan salah satu contoh bias pengesahan.
Bagi yang berminat, anda boleh baca lebih lanjut tentang kesan negatif yang dikatakan oleh Dr Wakefield dan bagaimana bias pengesahan menjadi salah satu punca gerakan anti-vaksin
Penyebaran maklumat palsu telah menjadi penghalang utama dalam mewujudkan imuniti kelompok bagi penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Menurut kajian bias pengesahan merupakan punca utama ibu bapa memilih, mencari dan mentafsir maklumat yang hanya konsisten dengan pandangan mereka iaitu vaksin berbahaya untuk anak-anak.
Dalam kenyataan akhbar KKM yang diterbitkan pada 2019 juga menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu merupakan punca peningkatan kadar penolakan vaksin dan bilangan kes penyakit boleh dicegah dengan vaksin.
Malangnya, gerakan anti-vaksin ini juga menyebabkan kematian kanak-kanak kerana kehilangannya imuniti kelompok dalam komuniti mereka.
Secara tidak langsung, kanak-kanak ini menjadi mangsa korban maklumat palsu.
Yang tertera di atas ialah dua tajuk besar bagi berita yang sama, iaitu YB Khairy Jamaluddin memilih untuk tidak mengambil vaksin Pfizer, sebaliknya menunggu untuk mengambil vaksin Sinovac bagi meningkatkan keyakinan terhadap vaksin COVID-19.
Golongan yang berpendapat bahawa vaksin adalah berbahaya dan tidak bermanfaat akan mempunyai reaksi jelas terhadap salah satu tajuk besar ini. Mereka akan lebih cenderung untuk:
Menerima maklumat berita tersebut
Berkongsi berita tersebut
Memberikan penilaian yang lebih tinggi untuk mempertimbangkan berita itu
Tambahan pula, kebanyakan orang tidak membaca berita dengan lebih lanjut selepas membaca tajuk besar, tajuk tersebut akan memberikan tanggapan negatif terhadap vaksin COVID-19.
Golongan yang tidak sedar tentang bias kognitif akan menerima maklumat tajuk besar dan tidak akan membaca kandungan berita.
Cuba bayangkan jika anda seorang penolak vaksin, apakah jenis berita yang akan anda lebih gemari untuk dibaca?