Tempoh masa yang dicadangkan untuk Bahagian 1: 30 minit
Otak manusia, yang berjisim lebih kurang 1.5kg, menggunakan hampir 20% daripada semua tenaga yang dihasilkan daripada makanan. Tiada komputer yang mampu menewaskan otak manusia dari segi kapasiti pemprosesan maklumat. Namun, mesin yang begitu berkuasa juga mempunyai hadnya yang tersendiri.
Untuk memudahkan kerja pemprosesan maklumat, otak sering mengambil jalan pintas atau meringkaskan maklumat yang diterima dan akan diproses. Otak mengambil jalan kompromi di antara ketepatan dan kepantasan memproses maklumat.
Jalan kompromi inilah yang menyebabkan bias kognitif berlaku. Bias kognitif merupakan ralat sistematik yang muncul apabila manusia memperoleh, memproses dan menggunakan maklumat serta media di sekeliling kita.
Terdapat ratusan bias kognitif yang diproses oleh otak kita setiap hari. Dalam modul ini, kita akan mempelajari 3 jenis bias kognitif utama yang mempengaruhi cara kita memperoleh, memproses serta menggunakan maklumat dan media di sekeliling kita.
Kita juga perlu faham bahawa bias kognitif ini sering berinteraksi antara satu sama lain dan ada masanya sukar untuk kita mengenalpasti jenis bias kognitif yang berlaku secara tepat dalam sesuatu situasi.
Dengar rakaman audio ini, pernahkah anda mengalami perbualan yang sama?
Dalam rakaman ini, wanita pertama yang beranggapan rumah yang disebutkan berhantu, dan kepercayaan ini mempengaruhi cara dia melihat, mentafsir dan kemudian membuat kesimpulan tentang situasi dalam kehidupan.
Contohnya, jika pintu itu tiba-tiba terbuka walaupun adanya angin kencang yang bertiup, dia masih akan menganggap bahawa pintu itu dibuka oleh makhluk halus. Malah, jika ada kanak-kanak terjatuh di hadapan pintu rumah, dia akan mentafsirkan kejadian berpunca daripada kehadiran makhluk halus.
Sebenarnya, wanita itu telah mengalami bias pengesahan. Apakah sebenarnya bias pengesahan (confirmation bias)?
Jom kita mulakan!
A: Eh ada la siapa cakap tak de hantu...you pernah tengok tak pintu rumah itu selalu buka dan tutup. Lalu je kawasan rumah dengar suara orang sedang cakap. Cuba buka pintu pagar rumah itu susah tau nak buka… dia tolak supaya kita tak masuk. Kalau lalu rumah itu malam-malam ada macam - macam bunyi tau. Hmm
sebab itula budak yang masuk jugak rumah itu dan jolok buah minggu lepas jatuh dari pokok dan patah tangan...eh i tak berani lah i tak mahu ikut.
B: Hmmm…. Okla tak pe lah kalau macam itu..