Apakah yang dapat diperhatikan melalui tangkap layar perbualan WhatsApp ini?
Sebagai seorang guru, adakalanya kita juga tidak dapat lari daripada Bias Pengesahan. Kita berkemungkinan mengikut andaian kita dan melabel pelajar sehingga tidak sedar akan keupayaan dan tahap perkembangan sebenar pelajar. Walaupun pelajar tersebut menunjukkan sedikit perkembangan, kepercayaan dalaman kita telah mengaburi mata kita.
Dua individu berbeza akan menunjukkan reaksi berbeza dalam situasi yang sama kerana dipengaruhi oleh pengalaman, kepercayaan serta pandangan diri sendiri.
Bias Pengesahan boleh menjelma dalam beberapa bentuk. Sebagai pendidik, kita seharusnya peka terhadap bias ini dan tidak membenarkan bias ini mempengaruhi profesionalisme kita.
A) Tanggapan murid terhadap subjek
Murid mungkin mempunyai tanggapan terhadap subjek tertentu. Misalnya, murid X mempunyai kepercayaan bahawa dia tidak boleh menguasai subjek Matematik Tambahan. Dengan tanggapan ini, murid X akan mencari dan mentafsir bukti yang menyokong pandangan tersebut dan akhirnya mempercayai subjek tersebut tidak boleh dipelajari.
Untuk mengatasi bias pengesahan ini, sebagai guru, kita harus mencari dan menunjukkan bukti yang membatalkan tanggapan pelajar tersebut. Kita boleh berikan pujian terhadap murid X apabila murid X berjaya menjawab sesuatu soalan matematik untuk memotivasikan murid tersebut.
B) Tanggapan guru terhadap murid
Guru mungkin mempunyai tanggapan terhadap murid sama ada positif atau negatif. Hal ini sebenarnya telah didokumentasikan sebagai kesan Golem atau kesan Pygmalion. Kesan Golem merujuk kepada situasi apabila tanggapan yang tidak positif akhirnya menjadikan seseorang murid tidak berjaya dalam pelajaran. Kesan Pygmalion pula merujuk kepada tanggapan positif akan menyumbang kepada kemenjadian murid.
Sebagai seorang pendidik, kita seharusnya mengatasi bias pengesahan ini dengan sentiasa mencari bukti bertentangan dengan tanggapan bagi kewujudan bias dalam diri sendiri.
Contohnya, jika guru bertanggapan bahawa seseorang murid itu malas / tidak ada motivasi untuk belajar, guru boleh cuba carikan situasi yang menunjukkan inisiatif untuk belajar atau rajin, dan cuba membatalkan tanggapan tersebut. Pada masa yang sama, guru juga perlu peka terhadap tanggapan positif kepada murid lain dan cuba semak dengan corak pemikiran neutral yang turut mengambil kira juga situasi murid itu berkelakuan negatif, agar tidak wujud situasi di mana guru membuat penilaian secara berat sebelah.
Bacaan lanjut:
https://www.teachertoolkit.co.uk/2017/10/31/pygmalion-effect/
https://knowledgeone.ca/cognitive-bias-in-education-the-pygmalion-effect/