MODUL 2: BAHAGIAN 1
MODUL 2: BAHAGIAN 1
KEMAHIRAN ASAS WARGA DIGITAL
Kebelakangan ini, banyak maklumat salah tersebar melalui media sosial dengan menyamar sebagai sumber berita pihak kerajaan.
Pernah satu ketika dahulu, pengisytiharan darurat dijadikan topik kandungan tular dan maklumat salah. Isu sensitif ini boleh menggugat keamanan negara dan mencetuskan situasi panik dalam masyarakat. Ada yang telah membuat pembelian panik, keluar dari kawasan tanpa kebenaran dan melakukan jenayah seperti mencuri akibat percaya kepada maklumat salah.
Justeru, kemahiran literasi media seperti kemampuan berfikiran kritis, menyemak maklumat dan membuat pertimbangan yang bijak ialah suatu kemahiran asas yang wajib ada bagi masyarakat zaman digital ini. Jika dahulu kita menitikberatkan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira; kini, kita juga harus mendidik anak-anak muda untuk menjadi celik media.
MENGAPA ISTILAH 'BERITA PALSU' HARUS DIELAKKAN?
Pastinya kita sering kali mendengar istilah 'berita palsu' atau fake news. Istilah ini mengelirukan kerana ada banyak maklumat salah atau palsu tapi bukan 'berita'; mungkin ia sebuah berita yang benar tetapi sudah lapuk.
Dalam dunia yang membolehkan semua orang mengakses dan berkongsi maklumat dengan pantas serta percuma melalui peranti di dalam tangan mereka, maklumat sebegini wujud dalam pelbagai bentuk.
Saksikan video di bawah dan beri perhatian tentang:
1. Mengapakah istilah 'berita palsu' tidak sesuai digunakan?
2. Adakah semua maklumat ialah 'berita'?
3. Adakah semua maklumat yang bermasalah semestinya 'palsu'?
4. Apakah istilah atau label lain yang boleh digunakan?
Penyampai: Rizal Zulkapli
Video: Astro Awani
Sumber kandungan: First Draft
Transkrip video
Terima kasih kerana menonton saluran berita Astro Awani, saluran berita yang paling dipercayai di Malaysia. Saya Rizal Zulkapli. Salam hormat.
Mari kita bincang istilah fake news atau 'berita palsu.'
Frasa ini adalah sedikit mengelirukan.
Frasa fake news diumumkan oleh Collins Dictionary sebagai Word of the Year atau perkataan terpenting pada tahun 2017.
Berikutan tindakan Presiden Amerika Syarikat pada masa itu yang kerap menggelarkan media sebagai penerbit fake news atau berita palsu, ini telah sekali gus menjadikan media di negara itu dilihat sebagai seolah-olah kurang berkredibiliti.
(Source: https://apnews.com/article/47466c5e260149b1a23641b9e319fda6 )
Di Malaysia, pada tahun 2021 juga turut melihatkan pelbagai perspektif berbeza apabila Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 diumumkan.
Pesalah yang menghasilkan, menerbitkan atau menyebarkan berita palsu berhubung dengan Covid-19 atau proklamasi darurat boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Apa sebenarnya berita palsu?
Selalunya, kita bukan berdepan dengan 'berita palsu'. Ada isu lain yang lebih besar di sini kerana berita atau maklumat ini bukanlah selalunya palsu.
Perkataan ‘berita’: Kebanyakkan kandungan ini bukanlah berita sahaja. Ia juga melibatkan kandungan lain, seperti video, gambar, dan kandungan lain yang sering kita baca di internet atau diterima melalui ruang sembang.
Ia tidak hanya digunakan di laman web berita sahaja.
Perkataan ‘palsu’: Maklumat itu mungkin benar, tetapi mengelirukan. Mungkin itu berita sebenar, namun daripada beberapa tahun lepas. Sememangnya juga ada kandungan yang sengaja dibuat-buat untuk menipu dan memperdaya masyarakat.
Ini mengakibatkan orang ramai seperti saya dan anda keliru dengan kesahihannya.
Jadi frasa 'berita palsu' bukanlah istilah yang sesuai -- istilah yang lebih tepat ialah khabar angin, maklumat salah, maklumat palsu atau kandungan berniat jahat untuk menipu atau menjatuhkan reputasi seseorang, misalnya.
Kita seharusnya menggunakan perkataan yang lebih tepat untuk menjelaskan jenis kandungan itu.
Ini penting bagi mengelak mana-mana pihak menyalahgunakan frasa ‘berita palsu’ sebagai instrumen demi kepentingan tertentu.
Media sentiasa memainkan peranan penting dalam bermasyarakat dan bernegara dengan menyemak segala maklumat pada segenap platform dan dimensi.
Pada zaman di mana maklumat disampaikan dengan pantas, dan di mana semua orang ada akses kepada maklumat ini, peranan media aliran massa dan wartawan adalah penting! Begitu juga peranan semua pengguna media.
Jadi gunakan istilah yang betul -- adakah ia penipuan? Maklumat salah? Maklumat palsu? Khabar angin?
Dengan penggunaan istilah yang tepat, anda kini berada di landasan yang betul ke arah menjadi individu celik media.
Mengapakah istilah 'berita palsu' tidak sesuai digunakan? Fikirkan dua sebab yang anda ingat daripada video ini.
Untuk mendalami jenis-jenis maklumat salah, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mencadangkan tiga kategori Kecelaruan Maklumat atau Information Disorder.
Kita akan mendalami tentang kecelaruan maklumat dalam bahagian seterusnya.