Tempoh masa yang dicadangkan untuk Bahagian 1: 20 minit
Setiap detik kehidupan kita dipenuhi dengan keperluan memilih dan membuat keputusan. Dalam Modul 3, kita telah mempelajari tentang kecenderungan untuk bersikap berat sebelah atau 'bias' - bias ini mempengaruhi kebolehan kita untuk membuat keputusan secara objektif dan saksama.
Berfikir secara kritis merupakan kemahiran penting untuk menghasilkan pilihan yang berkualiti dan mengurangkan bias dalam kehidupan.
Pernahkah anda mengalami dua situasi ini? Apa yang anda selidik apabila membeli makanan atau membeli telefon bimbit baharu?
Biasanya, kita akan menyemak tanda harga, tarikh luput dan label nutrisi serta keadaan pembungkus pada makanan sebelum membelinya. Kita juga akan menyemak fungsi, harga serta kelebihan sesuatu telefon bimbit sebelum memilih.
Jika kita tidak meneliti maklumat-maklumat ini, kita mungkin membeli makanan yang sudah luput dan berisiko mengalami keracunan makanan, serta membeli telefon yang tidak menepati keperluan kita. Lebih teruk lagi, mungkin kita boleh ditipu oleh penjual tidak bermoral.
Dalam suatu kajian yang melibatkan 700 lelaki dan perempuan dewasa, peserta hanya dapat mengenal pasti 60% imej yang telah dimanipulasi dalam satu-satu masa. Hanya 45% peserta dapat mengenal pasti apa yang telah diubah dalam gambar yang dimanipulasi.
Ia bermaksud bahawa kemahiran pemerhatian dan pemikiran kritis adalah amat penting dalam penggunaan media. Ada kalanya kita tidak dapat menentukan apa yang salah tentang maklumat yang kita temukan, tetapi menyoal apa yang dibaca ialah satu langkah yang penting!