MODUL 2: BAHAGIAN 2
MODUL 2: BAHAGIAN 2
Cuba anda taip 'Egypt' di Google dan minta rakan anda taip carian yang sama di Google. Bandingkan hasil carian yang dipaparkan.
Adakah hasil carian anda berdua sama? Tidak!
Pada tahun 2011, aktivis teknologi Eli Pariser menggegarkan dunia dengan perkongsiannya melalui TEDtalk apabila beliau menyatakan bahawa laman Facebook beliau sering menyajikan berita politik parti-parti yang beliau suka dan selalu baca. Maklumat daripada pihak yang berlainan pendapat jarang sekali terpapar.
Semakin kerap Eli Pariser mencari atau mengeklik pada sesuatu kandungan, semakin kerap maklumat berkaitan dengan hal tersebut sahaja yang muncul.
Algoritma sistem Facebook menyebabkan beliau terperangkap dalam ruang maya dengan individu yang berfikiran sama. Adakah perkara ini berbahaya?
Beliau menamakan situasi ini sebagai buih tapisan atau filter bubble.
Setiap laman web dan media sosial mempunyai algoritma (algorithm) sendiri. Algoritma ini akan mempelajari perilaku dan corak penggunaan dalam talian anda dan mencadangkan kandungan yang anda minati berdasarkan maklumat peribadi seperti lokasi, tingkah laku klik dan sejarah carian.
Kuki atau cookies di Internet pula mengesan jejak langkah Internet anda untuk mencadangkan kandungan lain yang serupa kepada anda. Tujuannya adalah untuk memastikan anda kekal pada platform digital ini untuk tempoh yang lebih lama. Lebih lama anda di sana, lebih banyak data pengguna terkumpul untuk kegunaan laman tersebut.
Lama kelamaan, anda hanya akan menerima cadangan kandungan dan pendapat yang sehaluan dengan apa yang anda selalu guna atau cari. Anda tentu teruja dengan keputusan carian yang selalu mengesahkan kepercayaan anda terhadap persoalan yang bermain dalam minda.
Kesannya, akses kepada maklumat yang bertentangan dengan pendapat anda berkurangan, dan anda akan terasing daripada perspektif lain.
Lama-kelamaan, kitaran ini menyebabkan anda terperangkap dalam ruang gema atau echo chamber.
Filem 'The Social Dilemma' adalah antara filem yang mempersoalkan teknologi algoritma media sosial yang dikhuatiri mengawal masyarakat jika kita tidak bersikap proaktif meneliti tindakan diri sendiri ketika di ruang siber. Apa pendapat anda?
BUIH TAPISAN (Filter bubble): Algoritma laman web mengesan dan memilih maklumat yang ingin dilihat oleh pengguna berdasarkan lokasi, tingkah laku klik, sejarah carian dan kuki. Kesannya, pengguna tidak terdedah dengan maklumat lain dan terasing dalam kumpulan yang sependapat sahaja.
RUANG GEMA (Echo chamber): Persekitaran seseorang yang hanya menemui maklumat atau pendapat yang mencerminkan dan mengukuhkan pendapat mereka sendiri.
Sebanyak 57% responden dalam kajian ini telah berkongsi berita yang mereka fikirkan menarik. Daripada jumlah tersebut, hanya 29% sahaja yang mengamalkan information hygiene.
Cuba perhatikan jenis-jenis maklumat yang disajikan dalam suapan (feed) atau iklan di laman sosial anda. Adakah bahan-bahan tersebut berkait dengan sesuatu yang anda pernah klik atau cari baru-baru ini?