Tempoh masa yang dicadangkan untuk Bahagian 2: 30 minit
Cuba perhatikan gambar-gambar di atas -
Gambar-gambar ini merupakan tangkap layar daripada kedai baju butik dalam talian di mana pelanggannya terdiri daripada orang Malaysia.
Apakah trend yang anda nampak?
Semua model baju yang digunakan dalam gambar merupakan model yang paras mukanya menarik perhatian, dan merupakan sama ada warga asing atau memiliki kulit yang cerah.
Kedua-dua ciri ini tidak biasa dilihat di Malaysia - namun, kenapa masih lagi banyak penjual menggunakan model sebegini untuk jualkan produk mereka?
Jawapannya mudah.
Dalam dunia pengiklanan, penggunaan model yang menawan mempunyai kesan yang positif terhadap jualan produk. Prinsip pengiklanan ini dikenali sebagai "what is beautiful is also good" (apa yang kelihatan cantik juga adalah bagus).
Dalam dunia psikologi pula, persepsi ini berlaku kerana kecenderungan kognitif yang dikenali sebagai kesan halo iaitu persepsi untuk sesuatu atribut positif ("model cantik!") mempengaruhi persepsi positif secara keseluruhan ("produk bagus").
Kesan halo juga boleh dilihat dalam situasi sekolah. Contohnya:
Guru memilih murid yang lebih menarik perhatian untuk memegang dulang.
Guru menilai kebolehan akademik murid yang berpakaian kemas dan sopan santun lebih tinggi berbanding dengan murid lain.
Kesan Halo merupakan salah satu jenis bias atribusi. Dalam bahagian ini, kita akan mendalami subtopik tentang bias atribusi.