Dalam Modul 4, Bahagian 2 kita telah memainkan peranan sebagai guru perpustakaan dan media di sekolah. Anda telah ditugaskan untuk mewujudkan projek TV Pusat Sumber Sekolah. Sebagai "penyunting", anda bukan sahaja perlu tahu nilai berita, tetapi membuat keputusan dalam menyusun berita-berita yang relevan dan penting untuk pembaca.
Adalah penting untuk kita mengetahui "perjalanan" suatu berita itu sebelum ia sampai ke ruangan sosial kita. Kita perlu mempunyai kesedaran bahawa suatu berita itu ditulis dan disunting sebelum ia diterbitkan. Maka, kita perlu menjadi lebih kritikal tentang siapa yang menulis dan menyunting berita tersebut. Adakah maklumat yang disampaikan tepat dan adil atau hanya pandangan peribadi?
Jom kita tonton video di bawah untuk memahami dengan lebih baik proses penghasilan berita sebelum ia diterbitkan.
Transkrip
Apabila sesuatu maklumat dicetak di dada akhbar, risalah mahupun papan iklan; wartawan atau penulis akan mencari bahan untuk dimuatkan. Maka, wartawan dan penulis ini perlu turun padang dan melihat sendiri kejadian tersebut sebelum memuatkan berita atau informasi terbabit dalam media.
Selepas itu, editor akan memastikan agar berita serta informasi yang ditulis itu menepati kehendak pembaca. Editor akan memilih berita yang akan dipaparkan, gambar iringan serta kapsyen yang sesuai untuk diletakkan. Selepas itu, barulah berita tersebut akan dicetak dalam akhbar, majalah, disiarkan di kaca televisyen atau radio, di poskan ke dalam akaun media sosial dan laman web syarikat media tersebut.
Terdapatnya garis pemisah yang sangat nipis apabila kita ingin membezakan antara media tradisional dengan media sosial. Sekalipun terdapat wartawan serta penulis yang bekerja dengan syarikat penerbitan menulis dalam media sosial dengan kandungan berita dan informasi yang serupa dengan media tradisional, media sosial tidak dapat lari daripada kandungan ciptaan pengguna (user-generated content).
Ia bermakna, kandungan dalam media sosial daripada pengguna yang bukan semuanya pakar atau wartawan bercampur aduk dengan media tradisional yang sudah mula melebarkan liputan mereka ke media sosial. Ia menyebabkan kecelaruan maklumat seperti yang telah dibincangkan dalam Modul 2.
Untuk membezakan video yang dimuatnaik oleh syarikat media dengan perkongsian video daripada pengguna biasa dalam media sosial, wartawan menggunakan "standupper", iaitu wartawan yang jelas kelihatan di depan skrin dan sedang membuat liputan di tempat kejadian.
Dalam Modul 4: Bahagian 1, kita telah melihat bagaimana pemilikan media mempengaruhi jenis berita yang dilaporkan. Nada penulisan dan penerbitan selalunya memastikan nama baik pemilik dijaga dengan baik pada pandangan pembaca. Ia boleh menimbulkan penghasilan maklumat berat sebelah.
Tetapi, bagaimana pula dengan media sosial yang setiap akaunnya dimiliki oleh individu? Apa pula nada penulisan dalam media sosial yang dimiliki individu? Fikirkan soalan ini apabila anda melawat akaun media sosial anda nanti.