"Malaysia mengamalkan keterbukaan dalam penggunaan internet. Kebebasan bersuara bukanlah suatu lesen untuk disalahgunakan, ia adalah tanggungjawab. Kebebasan bersuara tanpa sebarang rasa prihatin terhadap tingkah laku manusia yang baik akan menjadi bencana bagi mana-mana masyarakat.β Petikan ucapan perasmian oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika majlis perasmian pejabat Facebook Malaysia pada tahun 2019.
Dalam era digital, sesiapa sahaja boleh mencipta dan memuat naik sebarang bahan ke media sosial. Celik huruf bukan lagi kekangan untuk mengakses maklumat kerana maklumat disebarkan melalui audio, video, gambar dan sebagainya antara/sesama pengguna.
Mari kita teliti kajian kes yang berikut.
@penceritatv mempunyai 412 ribu pengikut di TikTok. Beliau ialah seorang wartawan yang menggunakan akaun TikTok untuk menyampaikan isu-isu terkini dalam masyarakat.
Walau bagaimanapun, dalam video bertajuk "Masalah Warga Asing", beliau menggunakan tajuk sensasi dan umpan klik (click bait) serta menggambarkan bahawa warga asing sebagai punca masalah. Komen Jeery yang menyindir pandangan beliau mendapat "likes" yang tertinggi.
Seperti yang telah dibincangkan dalam Modul 1 dan Modul 3, pendirian dan pemikiran kita akan dipengaruhi oleh heuristik ketersediaan. Kemahiran literasi media dan maklumat yang diperlukan adalah membezakan dan mengenal pasti sumber serta jenis maklumat:
Adakah kandungan tersebut ditaja oleh sesiapa?
Adakah kandungan tersebut merupakan pandangan peribadi atau analisis hasil penyiasatan?
Adakah nada penulis berat sebelah? Apakah niat penulis sekiranya nada penulisannya berat sebelah?
Adakah berita tersebut mendapat perhatian dan liputan berlebihan? Jika ya, mengapa?
Ayuh kita uji kemahiran anda untuk membezakan pelbagai jenis maklumat.