Sumber Bumi dan Geologi Gunaan

Mari kita belajar:

  • Menerangkan maklumat tentang air permukaan dan risikonya.

  • Menerangkan air bawah tanah dari segi kepentingan dan risikonya.

  • Berkomunikasi mengenai mineral ekonomi.

  • Menerangkan pembentukan petroleum dan arang batu.

  • Berkomunikasi mengenai hidroterma.

  • Menyelesaikan masalah kesan buruk daripada aktiviti manusia yang tidak dirancang dengan baik kepada semua hidupan di Bumi.

Air permukaan ialah air yang berada di permukaan Bumi. Contoh air permukaan termasuklah laut, kolam, tasik, sungai dan paya.

Air permukaan boleh tercemar akibat bahan buangan daripada kawasan perindustrian dan perumahan. Baja berlebihan dan racun perosak dari kawasan pertanian juga mencemarkan air sungai.

Lebihan air permukaan menyebabkan banjir kilat serta limpahan air sungai, tasik dan laut yang boleh menyebabkan kerosakan harta benda manakala kekurangan air permukaan menyebabkan kemarau yang menjejaskan kehidupan benda hidup.

Air bawah tanah ialah air yang berada di bawah permukaan Bumi yang meliputi ruang kosong antara butiran tanah sehingga aras batuan tidak telap air. Air bawah tanah boleh mengalir keluar ke permukaan bumi melalui mata air.

Akuifer ialah lapisan bawah tanah yang terdiri daripada batuan berliang yang mengandungi air dan mampu mengalirkan air. Air bawah tanah boleh diambil daripada akuifer dengan menggali perigi. Akuifer bertindak sebagai simpanan semula jadi air bawah tanah.

Larut resap baja kimia dan racun serangga dalam bidang pertanian menyebabkan air bawah tanah menghadapi risiko pencemaran. Sisa bahan kimia atau industri dan domestik di tapak pelupusan sampah membawa risiko pencemaran air bawah tanah.

Mineral Ekonomi

Mineral ekonomi di Bumi terdiri daripada mineral logam, mineral bukan logam dan mineral nadir. Contoh mineral logam ialah bijih besi, bijih timah dan emas manakala mineral bukan logam ialah arang batu dan petroleum yang digunakan sebagai bahan api.

Mineral nadir bumi mengandungi satu atau lebih daripada satu daripada 17 unsur nadir bumi yang dijumpai di dalam kerak Bumi. Walaupun hampir keseluruhan mineral nadir boleh didapati dengan banyaknya, namun mineral itu sukar dipisahkan kerana wujud bersama dengan logam-logam nadir lain. Disebabkan sifat-sifat unik mineral nadir, mineral nadir digunakan dalam teknologi moden seperti komputer, DVD, alatan komunikasi, televisyen dan lain-lain. Oleh itu, mineral nadir bumi amat penting kepada perkembangan ekonomi negara dan dunia.

PEMBENTUKAN ARANG BATU DAN PETROLEUM

Berjuta-juta tahun dahulu, tumbuhan mati secara semula jadi. Selepas bertahun-tahun, sisa itu tertimbus di bawah lapisan enapan atau lumpur. Di bawah tekanan dan haba yang tinggi, fosil tumbuhan bertukar dengan perlahan-lahan kepada arang batu.

TUGASAN

Dengan menggunakan kreativiti anda, hasilkan satu persembahan multimedia tentang cara pembentukan arang batu atau petroleum.

HIDROTERMA

Proses hidroterma merujuk kepada air yang dipanaskan oleh haba daripada Bumi secara semula jadi.

Apakah kelebihan hidroterma daripada prospek ekonomi?

  • Penghasilan batuan dan mineral seperti batuan granit dan batuan sedimen

  • Penghasilan tenaga geoterma dan kuasa elektrik

Aktiviti manusia yang tidak dirancang dengan baik boleh memberikan kesan buruk kepada semua hidupan di Bumi. Fikirkan cara-cara penyelesaiannya.